Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kesilapan lampau jadikan Sabah bergantung ‘kuasa luar’, ‘tangan ghaib’, kata Jeffrey

Barisan pemimpin GRS mengibarkan bendera gabungan itu pda majlis pelancarannya di Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar JKM)

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jeffrey Kitingan berkata pemimpin Sabah perlu belajar daripada kesilapan lampau sehingga negeri itu terlalu bergantung kepada “kuasa luar” dan “tangan ghaib”.

Katanya, pemimpin Sabah sepatutnya mampu menguruskan negeri mereka sendiri tanpa mengharapkan “kuasa luar”.

“Pemimpin Sabah perlu belajar kesilapan masa lampau yang menyebabkan kita terlalu bergantung kepada kuasa di luar Sabah dan ‘tangan-tangan ghaib’, sehingga kita jadi negeri termiskin, negeri tidak selamat.

“Kita tidak mau lagi masa depan kita ditentukan oleh kuasa di luar sana, kita mampu berdikari, kita mampu urus rumah kita sendiri, rumah Sabah,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Usno Pandikar Amin Mulia dalam ucapannya berkata, parti itu tidak akan berlagak sebagai sebuah parti gagah dalam GRS kerana mereka hanya parti kerdil.

“Usno menyedari bahawa saiz badannya adalah kerdil, “SSS”, “super super small” maka, dengan kesedaran demikian, Usno tidak akan memandai-mandai menonjolkan watak badan bersaiz besar “XXL” seperti saiz PBS atau Star atau SAPP, jauh sekali bersikap macam badan gergasi “XXXL” seperti Bersatu.

“Bersikap atau berlagak sedemikian akan mencermin atau menggambarkan kebodohan Usno itu sendiri. Siapalah Usno di mata rakyat Sabah, tanpa pengiktirafan kerajaan GRS kepada Usno sebagai rakan seperjuangannya.

“Sejujurnya Usno amat berterima kasih dan menjunjung penghargaan parti pengasas GRS dan Bersatu kepada kami, Usno sebuah parti kerdil dan papa,” katanya.