Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Letak jawatan pengerusi EAIC, Kit Siang beritahu Sidek selepas keterangan 1MDB

Lim Kit Siang berkata keterangan Sidek Hassan dalam perbicaraan Najib Razak berkaitan 1MDB menunjukkan beliau menerima elaun lebih tinggi daripada gaji rasminya untuk tidak melakukan apa-apa sebagai penasihat 1MDB.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang mendesak Sidek Hassan meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi menjaga nama baik dan reputasi badan itu.

Lim berkata, penting bagi Sidek yang juga bekas ketua setiausaha negara, berbuat demikian selepas keterangannya dalam perbicaraan Najib Razak berkaitan 1MDB menimbulkan persoalan mengenai integritinya.

Sidek memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau difahamkan, 1MDB ditubuhkan sebagai dana politik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan beliau menjadi ahli lembaga penasihat 1MDB pada 30 Ogos 2010, dengan menerima bayaran sebanyak RM30,000 sebulan sebagai penasihat hingga Januari 2013, sebelum dikurangkan kepada RM10,000.

Katanya, beliau percaya pelantikannya sebagai ahli lembaga penasihat syarikat itu adalah untuk “menaikkan” gajinya, sambil menambah beliau tidak pernah membincangkan masalah dihadapi oleh 1MDB dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sidek, menjadi ketua setiausaha negara dari September 2006 hingga Jun 2012, berkata Najib pernah bertanya tentang pendapatan diperoleh sebelum pelantikannya dan berpendapat, gaji diterima “terlalu kecil”.

Lim berkata, Sidek menerima elaun lebih tinggi daripada gaji rasminya untuk tidak melakukan apa-apa sebagai penasihat 1MDB.

“Sekarang adalah masa yang terbaik untuk Sidek menyerahkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi EAIC,” katanya dalam kenyataan.

Lim juga bersetuju dengan bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad yang turut meminta Sidek meletak jawatan sebagai pengerusi EAIC.

Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan kepada awam, gaji semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada persidangan Parlimen, Julai depan.

“Ia akan menjadi satu langkah yang baik untuk ketelusan, akauntabiliti, dan integriti awam,” katanya sambil menambah kemungkinan Malaysia ketinggalan dalam menentang rasuah jika tidak “membersihkan” kebanyakan syarikat GLC.