Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mahkamah Singapura bebas warga Malaysia tuduhan edar dadah

Ramadass Punnusamy dan seorang warga Singapura, Raj Kumar Aiyachami didakwa berkait beg yang mengandungi kanabis. (Gambar Bloomberg)

SINGAPURA: Dua lelaki yang sebelum ini didapati bersalah kerana mengedar dadah, termasuk seorang rakyat Malaysia, dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Singapura, Jumaat lalu, lapor media tempatan.

Akhbar The Straits Times melaporkan, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Sundaresh Menon, membenarkan rayuan warga Singapura, Raj Kumar Aiyachami, 40, atas sabitan bersalah dan hukuman mati dikenakan terhadapnya.

Laporan itu turut menyatakan, mahkamah turut membebaskan warga Malaysia, Ramadass Punnusamy, 41, atas sabitan bersalah dan hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan.

Rayuan kedua-dua lelaki itu berkisar terhadap isu sama ada mereka tahu mengenai dadah terbabit, lapor akhbar dalam talian itu.

Pasangan itu dituduh berkait dengan sebuah beg dadah mengandungi tidak kurang daripada 1.875kg kanabis.

Memetik peguam Ramadass, Eugene Thuraisingam, laporan itu menyatakan, pas sementara untuk Ramadass berkemungkinan sedang diaturkan oleh pihak berkuasa imigresen kerana pas masuknya ke negara itu sudah luput.