Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

MIC mahu dilibat sama pilih calon BN, kata Vigneswaran

MIC mahu memberi pandangan terhadap semua calon yang akan bertanding bawah logo Barisan Nasional (BN).

PETALING JAYA: MIC mahu parti itu dilibatkan berhubung penentuan calon daripada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata presidennya S A Vigneswaran.

Katanya, mengambil kira kekalahan besar pada PRU14, MIC mahu memastikan calon dikemukakan merupakan calon boleh menang.

Beliau berkata, selain isu pengagihan kerusi, perkara berkenaan juga akan disuarakan dalam pertemuan dengan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, dijadualkan pada 21 Jun ini.

“Kali ini kita juga mahu mengetahui calon daripada parti lain dalam BN. Ini kerana, MIC juga mahu memberi pandangan terhadap semua calon yang akan bertanding di bawah logo BN.

“Sebelum ini (PRU14 lalu), kita (BN) telah mengalami kekalahan yang besar. Jadi sebab itu, kita mahu pastikan calon yang akan dipertandingkan nanti adalah calon boleh menang,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, cadangan pihaknya dibuat bukan bermaksud partinya mempunyai masalah dengan komponen lain, sebaliknya ia sekadar memberi pandangan demi memastikan kemenangan BN.

Katanya, walaupun perbincangan itu diadakan, keputusan terakhir bagi memuktamadkan senarai calon BN akan tetap diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.

“Cadangan ini dibuat susulan masih ada lagi kawasan-kawasan yang tidak ada penyelaras parti. Jika ada penyelaras pun, ada yang daripada BN malah ada juga yang tidak berada dalam (kepimpinan) BN,” katanya.