Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

NGO saran Tanjung Tuan jadi hutan pelancongan, pendidikan

Ahmad Ismail menunjukkan kepentingan Tanjung Tuan kepada burung pemangsa. (Gambar Bernama)

MELAKA: Hutan Simpan Tanjung Tuan, Alor Gajah, dicadangkan dijadikan hutan pelancongan dan pendidikan dalam usaha memastikan alam semula jadi di kawasan itu kekal terpelihara.

Presiden Pencinta Alam Malaysia (MNS), Ahmad Ismail, berkata kombinasi hutan hujan tropika dan paya bakau menjadikan Tanjung Tuan sangat unik, selain merupakan lokasi penting bagi aktiviti memerhati burung di negara ini.

Beliau berkata, hutan seluas 607,000 meter persegi itu telah diiktiraf sebagai kawasan penting burung dan kepelbagaian biologi, selain sebagai tempat penting burung pemangsa oleh pertubuhan antarabangsa.

Justeru, katanya, ia wajar diberikan perhatian dan seluruh rakyat Malaysia patut melindungi kawasan itu serta memerlukan pengurusan yang baik.

“Hutan hujan di darat dan hutan bakau di persisiran pantai Tanjung Tuan ini mesti disimpan untuk kepentingan ekologi, pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan untuk masa generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata Hutan Simpan Tanjung Tuan adalah antara kawasan hutan hujan pantai yang masih wujud di pantai barat Semenanjung dan diwartakan sebagai hutan simpan, santuari hidupan liar dan kawasan larangan menangkap ikan, selain merupakan kawasan bersejarah kerana rumah apinya yang dibina sekitar 1528 dan 1529 oleh Portugis.

“Bagi kawasan hutan bakau pula, kemudahan asas untuk aktiviti pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan boleh disediakan dengan kemudahan seperti laluan pelantar yang tidak mengganggu hutan bakau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena Hari Alam Sekitar peringkat negeri pada Sabtu lalu, sebanyak 100 anak pokok bakau kurap, 100 anak bakau minyak dan 400 anak benih pokok bakau kurap telah ditanam di hutan simpan itu, yang antara lain bertujuan memulihkan ekosistem paya bakau di Tanjung Tuan yang musnah akibat kejadian tumpahan minyak pada 2020.