Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pemilihan PKR: Undi semula selesai, keputusan dalam 24 jam

Pemilihan PKR 2022 akan memasuki episod seterusnya dengan pencalonan bagi pemilihan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian mulai esok hingga 31 Mei.

HULU SELANGOR: Meskipun terdapat sedikit perang mulut di Kedah, namun proses pengundian semula secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 yang melibatkan enam bahagian di empat negeri hari ini, selesai dan berjalan lancar.

Bahagian terlibat ialah Dungun, Marang dan Kemaman di Terengganu; Hulu Selangor (Selangor); Padang Serai (Kedah) dan Pensiangan (Sabah).

Justeru, keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam.

Proses pengundian semula bahagian tunggal di Selangor iaitu Hulu Selangor selesai tanpa sebarang provokasi atau pertelingkahan pada 5.15 petang tadi.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mazli Saring, berkata seramai 1,937 ahli parti, telah menjalankan kewajipan mereka sejak 9.15 pagi di Dewan Orang Ramai Kalumpang, Kerling di sini.

Tinjauan Bernama mendapati proses pengundian di bahagian Hulu Selangor yang terpaksa ditangguhkan berikutan tidak menyediakan peralatan seperti kerusi dan meja pada 21 Mei lepas, berjalan dengan sistematik.

Di Terengganu, proses pengundian semula melibatkan tiga bahagian iaitu Kemaman, Dungun dan Marang juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Azan Ismail, berkata pengundian semula di bahagian Marang hari ini, hanya melibatkan pemilihan calon bagi jawatan utama di peringkat pusat sahaja.

“Ini kerana calon bagi jawatan peringkat bahagian Marang telah pun menang tanpa bertanding pada 13 Mei lepas. Suasana di pusat pemilihan Dewan Koperasi Desa Kampung Alor Limbat sangat tenang, dengan kebanyakan ahli datang secara berperingkat sejak 9 pagi.

“Berlainan pula dengan bahagian Kemaman dan Dungun kerana ‘kemeriahannya’ tetap terasa untuk pengundian semula hari ini, yang melibatkan pemilihan calon di peringkat bahagian dan pusat, ahli PKR tetap bersemangat datang menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi.

Di Kedah pula, proses pengundian bagi bahagian Padang Serai berjalan lancar walaupun berlaku sedikit pertengkaran di luar pusat pengundian di Dewan Sri Karumariamman Paya Besar, Lunas tengah hari tadi.

Koordinator JPP Kedah, Rashid Din, berkata situasi tegang itu berlaku, disebabkan tindakan yang didakwa sebagai cubaan menarik pengundi oleh pihak tertentu, sehingga menyebabkan pihak lain tidak berpuas hati.

“Terdapat sedikit perang mulut antara penyokong di khemah di luar pusat pengundian, namun dapat diredakan beberapa minit kemudian dan proses pengundian berjalan semula dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, proses pengundian bermula pada 9.15 pagi dan setakat 4.30 petang tadi kira-kira 900 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dan proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang.

Di Sabah, pengundian semula bagi bahagian Pensiangan di Rumah Panjang Kampung Malampoi, Nabawan dan Rumah Inap Desa Gardan Keningau, juga berjalan dengan lancar.

Pengundian di semua enam bahagian di empat negeri berkenaan telah diadakan pada minggu lepas, namun undian semula terpaksa dilakukan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal, yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Pemilihan PKR 2022 akan memasuki episod seterusnya dengan pencalonan bagi pemilihan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian mulai esok hingga 31 Mei ini.