Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pendaki wajib guna malim di gunung berisiko mulai tahun depan

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Mohd Ridza Awang berkata nisbah seorang malim untuk tujuh pendaki akan dikuatkuasakan tahun hadapan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Semenanjung mewajibkan semua aktiviti pendakian hutan simpan kekal berisiko di seluruh negara menggunakan khidmat malim gunung perhutanan (MGP).

Ketua Pengarahnya, Mohd Ridza Awang berkata, penggunaan MGP itu dikhususkan untuk bukit atau gunung yang berketinggian melebihi 457.2m.

“Garis panduan telah disediakan sejak tahun lalu, menggunapakai nisbah seorang malim kepada tujuh pendaki dan ia dibuat mengambil kira faktor keselamatan.

“Dengan adanya seorang MGP yang terlatih bagi setiap kumpulan melakukan pendakian, kita jangka dapat meminimumkan risiko berlaku sesuatu kemalangan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Tambah beliau lagi, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, malim yang mengiringi mereka mampu bertindak berpandukan kepada situasi.

Katanya, ia berikutan sebanyak 400 kes kemalangan melibatkan pendaki telah direkodkan di kawasan hutan simpan kekal dan perlu ditangani segera.

Untuk itu, katanya, semua pengarah perhutanan negeri diarahkan untuk mengenal pasti hutan simpan kekal berisiko yang perlu menggunakan khidmat MGP.

“Di Melaka, dua lokasi dikenal pasti adalah Gunung Melaka di Asahan dan Bukit Batu Lebah, Jasin akan mula dikuatkuasakan selepas mendapat nasihat dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Apabila kawasan berkenaan dikenal pasti, barulah perkara tersebut akan dimaklumkan kepada seluruh pendaki, daripada segi penggunaan MGP di kawasan yang telah ditentukan nanti.

“Kita cadang ia akan dikuatkuasakan tahun depan, namun ia perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri,” ujarnya.