Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pengguna barang import murah ‘terbeban sedikit’ dengan cukai jualan baharu, kata pakar

Pengguna mungkin tidak menyedari pengenaan cukai baharu kerana harga barang dibeli pada tahun depan akan memasukkan sekali cukai itu, menurut seorang pakar ekonomi.

PETALING JAYA: Kos sara hidup golongan B40 dijangka menokok susulan langkah kerajaan mengenakan cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah yang dijual dalam talian, kata pakar ekonomi, Barjoyai Bardai.

Cukai baharu itu akan melibatkan barangan asas seperti pakaian dan kasut dan perkakasan rumah, yang sering dibeli orang awam, termasuk yang berpendapatan rendah.

Tinjauan FMT mendapati pelbagai jenis keperluan asas murah terjual dalam talian, termasuk “lampin import”.

Dewan Rakyat pada 4 Ogos meluluskan pindaan Akta Cukai Jualan, yang meluaskan skop kenaan cukai jualan dan mengenakan cukai ke atas barang bernilai RM500 ke bawah apabila diimport masuk, mulai Januari.

Barjoyai Bardai.

“Peraturan ini memang membebankan sedikit kepada pengguna…ia boleh memberi kesan kepada kos sara hidup kalau pengguna membeli barang import untuk keperluan asas, khususnya golongan B40,” kata Barjoyai kepada FMT.

Beliau bagaimanapun berkata pengguna mungkin tidak menyedari pengenaan cukai itu, kerana harga barang yang dibeli mereka pada tahun depan akan memasukkan sekali cukai itu.

“Ini kerana sekarang 10% cukai akan dikutip daripada penjual dan bukan pembeli. Jadi harga barang mulai 1 Jan 2023 apabila diimport akan naik 10% tetapi kenaikan itu akan dibayar oleh penjual sendiri,” katanya.

Pada masa ini, barangan bernilai RM500 dan ke bawah tidak dikenakan sebarang cukai apabila diimport masuk. Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata ini menyebabkan “layanan tidak adil” kepada peniaga tempatan, kerana barangan keluaran tempatan tertakluk kepada kenaan cukai jualan.

“Pindaan ini akan mengenakan cukai kepada peruncit yang import barang lebih RM500 dan individu yang import barang kurang daripada RM500,” kata Barjoyai.

Marimuthu Nadason.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Marimuthu Nadason berkata pindaan undang-undang membantu usaha membanteras penipuan dalam kalangan penjual.

“Bila mereka bayar cukai, kita ada rekod. Kerajaan ada rekod, dan kita tahu syarikat mana dikenakan cukai dan sebagainya,” katanya, dan menambah beban ditanggung pengguna bergantung kepada jumlah pembelian.

Dalam pada itu, Barjoyai menganggarkan kutipan daripada cukai baharu ini sekitar RM200 juta setahun – tidak terlalu banyak untuk diagihkan kembali kepada rakyat.