Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Polis tahan lelaki mabuk selepas rempuh 7 kenderaan, larikan sebuah kereta

Antara kenderaan yang rosak selepas dirempuh seorang lelaki mabuk di Kulai, malam tadi. (Gambar Facebook IPD Kulai)

PETALING JAYA: Seorang pemandu pacuan empat roda dipercayai mabuk merempuh tujuh buah kenderaan serta melarikan sebuah kereta yang dirempuhnya sebelum ditahan di sebuah stesen minyak di Saleng, Kulai, Johor, malam tadi.

Kejadian berlaku apabila suspek berusia 38 tahun yang memandu Toyota Hilux, dari arah Johor Premium Outlet (JPO), Jalan Persiaran Indahpura bertindak merempuh lima kereta.

Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow berkata, suspek seterusnya memandu ke arah Lebuhraya Linkedua dan memasuki Lebuhraya Johor Bahru-Air Hitam sebelum merempuh bahagian belakang dua lagi kereta.

“Selepas merempuh tujuh kenderaan, suspek berhenti di tetapi jalan sebelum melarikan sebuah Perodua Axia yang dirempuhnya dan menuju ke arah stesen minyak Petronas Saleng, Kulai.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan terhadap suspek ataupun mangsa dalam kejadian itu,” katanya di Facebook.

Tok berkata, anggota unit kereta peronda polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sedang melakukan rondaan, sebelum menerima maklumat kejadian pada 7.30 malam.

“Susulan kejadian itu, polis menahan suspek dan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

“Ujian hembusan nafas dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif alkohol, manakala ujian saringan air kencing, dia negatif dadah,” katanya.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai dan direman tiga hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 42 dan Seksyen 454 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000),” katanya.