Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ringgit akan kukuh berbanding USD, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz berkata ringgit akan terus mengukuh apabila ekonomi berkembang sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021, dan 5.0% pada suku pertama 2022. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Asas ekonomi kukuh dan pengurusan berhemah mampu menyumbang kepada nilai ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Dalam kenyataan, beliau menjangkakan nilai ringgit kekal stabil walaupun terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit buat masa ini.

Ia termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global yang terus mengetat menyebabkan kegusaran komuniti pelabur antarabangsa mengagihkan semula dana kepada aset yang menghasilkan lebih tinggi dalam mata wang USD.

Selain itu, sekatan pergerakan di bandar utama dan di China turut memberi kesan kepada perdagangan Malaysia-China.

“Namun semua faktor tersebut dilihat sebagai sementara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Bank Negara (BNM) aktif menguruskan ringgit bagi memastikan turun naik terkawal dan tidak keterlaluan supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan berdasarkan nilai ringgit yang stabil.

Beliau berkata, ringgit akan terus mengukuh apabila ekonomi berkembang sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021, dan 5.0% pada suku pertama 2022.

Katanya, prospek pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan juga dicerminkan oleh analisa terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.75% bagi tahun 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.

“Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan yakin bahawa prospek pertumbuhan ekonomi negara yang teguh. Bagi tahun 2022, KDNK Malaysia dijangka berkembang antara 5.3 – 6.3% dan ini akan menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.

“Kementerian Kewangan dan BNM akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara,” katanya.