Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sejauh mana kursus anti-rasuah berjaya jika pemimpin gagal tunjuk teladan, soal ahli akademik

Seorang ahli akademik berkata cadangan mewujudkan kursus anti-rasuah di universiti tidak difikirkan secara mendalam.

GEORGE TOWN: Seorang ahli akademik mencadangkan bahawa kursus menentang diskriminasi, kebencian dan ketidaksamaan lebih baik daripada cadangan kerajaan untuk mengadakan kursus integriti dan anti-rasuah di universiti.

Zaharom Nain yang juga Pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) agak ragu-ragu dengan idea itu kerana menurutnya, ia tidak boleh diajar menerusi kursus.

Katanya, didikan mengenai bahaya rasuah dalam kalangan belia tidak memadai memandangkan pemimpin politik dan agama di negara ini gagal menunjukkan contoh yang baik.

“Sejauh mana kursus anti rasuah ini akan berjaya apabila ada pemimpin politik secara terbuka menayang pakaian dan jam mahal di khalayak ramai yang jelas mereka sendiri tidak mampu membelinya dengan gaji masing-masing?” katanya.

“Cakap tak serupa bikin,” katanya.

“Lebih baik mengadakan kursus yang menyemai nilai berfaedah di sekolah atau universiti dalam menentang diskriminasi, kebencian dan ketidaksamaan berbanding kursus anti-rasuah yang teknikal dan mengarut,” katanya.

Beliau berkata, amalan dan budaya rasuah adalah akibat daripada sistem eksploitasi politik-ekonomi yang lebih luas, keselesaan harta benda dan memaksimumkan keuntungan.

Katanya, “tiada sedikit pun pengajaran” mengenai rasuah akan membantu untuk mengekangnya.

Zaharom, yang merupakan profesor komunikasi di Universiti Nottingham Malaysia, berkata kerajaan tidak berfikir secara mendalam untuk mewujudkan kursus itu dan mempersoalkan sejauh mana keberkesanannya apabila profesion perguruan sendiri didakwa terlibat dalam amalan rasuah.

Lebih baik perkenal kursus anti-rasuah di sekolah, kata aktivis

Bagaimanapun, Ketua Pertubuhan Rasuah Busters, Nurhayati Nordin mengalu-alukan idea berkenaan dan mencadangkan supaya kursus itu dilengkapi dengan mekanisme pengajaran tidak formal seperti persidangan, libat urus dengan kumpulan masyarakat sivil anti-rasuah dan aktiviti simulasi.

“Kaedah pengajaran tidak formal ini juga sama penting (kerana kursus itu) untuk mengurangkan potensi punca rasuah dalam kalangan belia dan pelajar,” katanya.