Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Selepas sebulan diburu, banduan lari penjara Jelebu dicekup

Banduan itu ditangkap bersama dua lelaki di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, Kuala Selangor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan diburu, banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, Negeri Sembilan, 10 April lalu akhirnya diberkas di sebuah bengkel kereta, Kuala Selangor, kelmarin.

Muhammad Syafiq Rohmat, 32, ditahan pada 5.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuala Selangor.

Banduan itu ditangkap bersama dua lelaki masing-masing berusia 23 tahun di sebuah bengkel kereta dan motosikal di Bukit Rotan, Kuala Selangor.

Difahamkan, Syafiq adalah banduan terakhir ditahan selepas melarikan diri dari Negeri Sembilan, sementara enam banduan lain berusia 28 hingga 62 tahun berjaya ditahan di lokasi dan tarikh berbeza sekitar negeri itu.

Ketua Polis Kuala Selangor, Ramli Kasa, berkata pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek berusia 23 tahun menemukan lapan peket plastik lut sinar berisi heroin dan dua peket syabu.

“Heroin seberat 455.60g bernilai RM15,000 manakala syabu seberat 24g pula bernilai RM2,400.

“Semakan mendapati banduan terbabit dalam penagihan syabu dan heroin sejak 13 tahun lalu, manakala dua lagi yang ditahan didapati seorang daripadanya terbabit pengedaran dadah dan seorang lagi penagih dadah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ramli berkata, banduan itu turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dia juga mempunyai rekod dikehendaki iaitu mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

“Banduan itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu melarikan diri pada 10 April lalu.