Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sikap proaktif Malaysia boleh jamin keselamatan tenaga negara, tarik pelabur asing

Insentif terbaru mendorong Malaysia menjadi pemain industri global dalam pengeluaran panel suria, namun penggunaan tempatan masih rendah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA : Dengan matlamat pengurangan kadar pelepasan bersih karbon sifar yang ditetapkan oleh Indonesia dan Thailand masing-masing pada 2060 dan 2070, Malaysia semakin menghampiri matlamat strategiknya untuk menjadi negara neutral karbon di hadapan negara ASEAN lain pada 2050.

Dengan pasaran modal global secara agresif mencari peluang baharu dan memindahkan pelaburan kepada syarikat ESG, adalah bermanfaat bagi Malaysia untuk bertindak secara proaktif dengan meletakkan sektor tenaga boleh diperbaharui (TBB) dalam laluan mereka.

Peningkatan komitmen Malaysia ke arah masa depan mampan boleh mencetuskan gelombang pelaburan asing yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus terus mengembangkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menyediakan peluang pekerjaan dengan nilai tambah yang tinggi.

Sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia

Menurut laporan BCG, daripada jumlah kapasiti penggunaan tenaga Malaysia pada 2021, hanya kira-kira 18% yang dikaitkan dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan alternatif.

Mempercepat usaha ke arah TBB adalah penting memandangkan wujudnya peningkatan keperluan tenaga negara yang akan melebihi bekalan.

Dianggarkan rizab bagi kedua-dua minyak dan gas asli akan habis dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Dengan Dasar Tenaga Diperbaharui Negara yang pada mulanya menyasarkan peningkatan sebanyak 20% penjanaan campuran tenaga kuasa negara menjelang 2025, adalah satu petanda positif bahawa kerajaan telah menyemak semula sasaran tersebut kepada 31% menjelang 2025.

Campuran tenaga kuasa Malaysia adalah antara solar, biojisim, sisa bio, biogas dan geoterma dengan kuasa hidro menyumbang lebih separuh daripada output.

Suria

Insentif terbaru telah mendorong Malaysia untuk menjadi pemain industri global dalam pengeluaran panel suria, namun ironinya penggunaan tempatan masih sangat rendah.

Sifat cahaya matahari yang terputus-putus memerlukan peningkatan selanjutnya dalam kapasiti penyimpanan bateri serta kos bagi meningkatkan kecekapan panel suria.

Profesor di Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs (JSC) di Universiti Sunway, Leong Yuen Yoong berkata, Malaysia harus mengelakkan penebangan hutan untuk tenaga suria kerana ia akan mengurangkan ciri hijau tenaga suria sekiranya melibatkan aktiviti penerbangan hutan.

“Kuasa suria yang terputus-putus adalah disebabkan oleh faktor luaran yang tidak boleh dikawal, contohnya tempoh siang hari dan corak cuaca,” katanya.

“Justeru penjanaan asas diperlukan untuk menghasilkan kuasa pada kadar tetap bagi memenuhi tahap minimum permintaan kuasa 24/7. Beban asas biasanya dibekalkan oleh arang batu, gas asli dan loji kuasa hidroelektrik berskala besar di Malaysia.”

Biojisim, sisa bio dan biogas

Dengan kepadatan pengeluaran minyak sawit, hasil pertanian yang banyak dan iklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai landskap yang sempurna untuk menjana tenaga biojisim dan biogas.

Cabaran semasa termasuk keperluan untuk meningkatkan ketersambungan tapak ke grid, pengurusan kejuruteraan dan reka bentuk loji yang mantap.

Geoterma

Walaupun dianggap sebagai salah satu bentuk pengeluaran TBB yang lebih konsisten, geoterma sangat bergantung kepada lokasi dengan hanya tiga wilayah berpotensi yang dikenal pasti di Malaysia dan sangat sedikit kelulusan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Kuasa hidro

Memikul sebahagian besar keluaran TBB Malaysia, kuasa hidro menyumbang 86% daripada kapasiti TBB tetapi jumlah tersebut hanya menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah penjanaan elektrik.

Walaupun hanya 20% daripada potensi hidro telah diterokai, pertumbuhan selanjutnya datang dengan cabaran untuk mengurangkan kesan alam sekitar terhadap tanah, sungai serta habitat semula jadi komuniti dan hidupan liar sekeliling.

Hidroelektrik aliran sungai

Dengan jejak karbon yang jauh lebih kecil daripada kuasa hidro besar yang lebih terkenal, hidroelektrik aliran sungai (RoR) adalah penyelesaian hibrid yang semakin mendapat perhatian.

Tanpa perlu mengalihkan dan mengganggu kawasan darat yang lebih besar, pembinaan empangan atau meningkatkan pelepasan gas rumah hijau, RoR hadir dengan potensi lebih baik.

Walaupun baik dari segi ekologi, keperluan kepakaran teknikal serta kajian kebolehlaksanaan memerlukan pelaburan lebih tinggi dan juga halangan kemasukan tertentu.

Inisiatif domestik semasa

Hala tuju Malaysia ke arah kemampanan lebih tinggi disokong secara domestik oleh skim pembiayaan seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 2.0 (GTFS 2.0) dan lanjutan baru-baru ini bagi kedua-dua Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 2023.

Melalui Program Tenaga Boleh Diperbaharui Kecil (SREP), projek tenaga boleh diperbaharui yang lebih kecil di bawah 10 MW diberi insentif untuk menyumbang kepada grid nasional, tetapi lebih banyak projek dalam semua saiz amat diperlukan bagi memenuhi matlamat tenaga negara.

Untuk menggalakkan pembangunan yang seterusnya dalam pengeluaran tenaga suria, biojisim, biogas dan hidroelektrik aliran sungai, dana tenaga boleh diperbaharui diwujudkan untuk menyokong skim Tarif Masukan (FiT) yang diuruskan oleh SEDA.

“Kita mesti mempertimbangkan kitaran hayat jejak karbon untuk mendapatkan pengiraan untung perakaunan dan untung ekonomi yang betul dari segi konsep.
Analisis kos faedah yang merangkumi kitaran hayat perakaunan karbon adalah perkara yang perlu diberi fokus dan menjadikannya sebahagian daripada perbincangan awam,” kata Yoong.

Pelaburan asing

Walaupun terdapat insentif dan inisiatif domestik, matlamat bagi memenuhi sasaran neutral karbon memerlukan akses kepada pembiayaan lebih besar dan subsidi yang sepadan atau melebihi apa yang kini tersedia kepada pengeluar bukan TBB/ bahan api fosil.

Dengan sebahagian besar industri kewangan global menerima pakai mandat ESG dan pelabur kini menghadapi cabaran berikutan hasil yang rendah atau negatif, masa yang sesuai seolah-olah tersedia kepada Malaysia untuk mempamerkan potensinya sebagai penjana tenaga boleh diperbaharui.

Dengan pelaksanaan subsidi dan insentif yang berdaya saing, usaha menarik pelaburan asing ke dalam aset tenaga boleh diperbaharui, projek mahupun syarikat akan mewujudkan kesan yang mampu memanfaatkan rakyat Malaysia pada masa akan datang.