Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Skandal LCS: Adakah rakyat masih percaya Zahid, BN, soal Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) berlaku ketika Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN menjadi menteri pertahanan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mempersoalkan sama ada pengundi masih boleh mempercayai Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin membangkitkan perkara itu mengulas isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang berlaku ketika Zahid yang juga pengerusi BN menjadi menteri pertahanan.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam PRU15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?,” soal Muhyiddin menerusi Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata, walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU14 lalu, namun sehingga hari ini rakyat masih dihantui peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

“Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS tentera laut yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion,

“Pendedahan bekas Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada menteri pertahanan
pada ketika itu amat mengejutkan kita,” katanya.

Muhyiddin berkata, bantahan berkenaan walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh menteri pertahanan ketika itu yang diketuai Zahid selaku presiden Umno dan pengerusi BN.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung pembelian kapal berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata PN akan terus memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh integriti.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS apabila tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas itu berkata, pihak yang terlibat dalam salah laku berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan.

Susulan itu Zahid turut menafikan pembabitannya dalam skandal berkenaan dan mengatakan kontrak pembelian kapal LCS hanya diberikan selepas beliau meninggalkan Kementerian Pertahanan.