Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Staf MBSA meninggal dunia ketika menyelam

Polis berkata mangsa bersama tiga rakan bertolak ke Pulau Tenggol untuk menyelam selepas tiba di Dungun malam tadi. (Gambar mpd.terengganu.gov.my)

PETALING JAYA: Seorang wanita meninggal dunia ketika menyertai aktiviti menyelam di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu, hari ini.

Mangsa berusia 37 tahun dikenali sebagai Puspasari Aminuddin, disahkan meninggal dunia kira-kira 10 pagi.

Saksi yang juga pemandu bot, Mohamad Sani berkata, dia memandu sebuah bot membawa mangsa yang juga penolong pegawai tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk 11 penyelam lain untuk menyelam di kawasan berkenaan.

“Kami bertolak dari Kuala Dungun 8.30 pagi dan tiba 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun melakukan aktiviti menyelam.

Puspasari Aminuddin.

“Saya dan pembantu berada di bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat dia timbul di permukaan air sedangkan masa menyelam diperuntukkan sekitar 45 minit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mohamad berkata, pada awalnya menyangka mangsa hendak berehat dan mengambil nafas, namun apabila melihat tiada pergerakan, dia mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150m.

Katanya, selepas membuat pemeriksaan nadi, dia segera menghubungi talian kecemasan.

“Mangsa tidak menunjukkan tindak balas selepas saya beberapa kali mengejutkan dia sebelum saya bertindak menaikkan dia ke atas bot,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Baharudin Abdullah, berkata mangsa bersama tiga rakan tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke Pulau Tenggol untuk menyelam.

Beliau berkata, kematian mangsa sudah dimaklumkan kepada keluarganya.

“Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan dijangka pulang ke Dungun petang ini. Mayat dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.