Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Tuntut lain dapat lain, komuniti p-hailing kecewa

Penghantar dibebankan dengan cadangan untuk diwajibkan mempunyai lesen kenderaan barangan (GDL), menurut Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing, Zulhelmi Mansor.

PETALING JAYA: Persatuan Penghantar P-Hailing kecewa apabila tuntutan mereka bukan saja tidak dipenuhi, malah dibebankan pula dengan cadangan untuk mewajibkan penghantar mempunyai lesen kenderaan barangan (GDL).

Presidennya, Zulhelmi Mansor berkata cadangan itu berbeza dengan 10 perkara yang dituntut semasa sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada 8 Ogos.

Menurutnya, antara cadangan yang diutarakan demi kebajikan kumpulan tersebut adalah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

“Ia juga termasuk dengan masalah peta digital yang mempunyai jarak berbeza dengan jarak sebenar, itu antara isu penting yang menjadi kegusaran sejak dahulu lagi. Tetapi dalam sidang media sebelum ini lain jadinya dengan apa kami minta.

“Apabila menteri memaklumkan mengenai keperluan lesen GDL ni, banyak penghantar makanan mula bersuara kerana sepatutnya isu utama perlu diselesaikan terlebih dahulu baru kita lihat kepada keperluan syarat tersebut. Ini kita minta lain, dapat benda lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada Jumaat lalu, kumpulan penghantar makanan melancarkan protes mogok selama 24 jam dan menyerahkan memorandum kepada syarikat penghantar makanan yang didakwanya mengekspotitasi hak kumpulan tersebut.

Susulan daripada itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan akan membentangkan tiga rang undang-undang (RUU) pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-hailing di negara ini.

Ia membabitkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Wee berkata, jika RUU tersebut diluluskan, pihaknya juga akan mewajibkan setiap penunggang p-hailing mempunyai lesen GDL seperti mana Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) oleh pemandu e-hailing.

Sementara itu, wakil kumpulan mogok tempoh hari, Firdaus Abdul Hamid, 30, tidak bersetuju dengan cadangan itu dengan alasan ia akan lebih menekan komuniti p-hailing.

“Sudahlah syarikat menekan kami dan sekarang pihak kerajaan pun turut tekan sama.

“Sedangkan komuniti p-hailing sudah diwajibkan untuk mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Jadi dekat situ sahaja kerajaan boleh tahu berapa jumlah sebenar kami,” katanya.