Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

3 ditahan, polis rampas ganja bernilai lebih RM300,000

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan 45 ketulan mampat dadah jenis ganja yang dirampas di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 145 ketulan mampat dadah jenis ganja di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur, 31 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Ahmad Jefferi Abdullah, berkata semua yang berusia 23 hingga 49 tahun berkenaan ditahan sekitar 2 petang selepas mereka selesai mengalihkan dadah dipercayai dari negara jiran itu ke dalam kereta jenis Proton Preve.

“Ganja itu dianggar seberat 142.1 kilogram bernilai RM355,250 dan berdasarkan balutan warna emas yang digunakan, ganja tersebut dipercayai daripada gred paling tinggi yang akan diedar ke sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu yang mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah dipercayai melakukan aktiviti pengedaran tersebut sejak empat bulan lepas.

Menurutnya, polis turut merampas tiga kenderaan bernilai RM138,000 daripada mereka manakala hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif terhadap dadah.

Ahmad Jefferi berkata, semua mereka yang juga penganggur direman seminggu bermula Rabu lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sama ada mereka adalah dalang atau tidak, siasatan masih lagi dijalankan dan kita percaya ada lagi dalang lain di sebalik sindiket ini,” katanya.