Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

99% penderma organ tak tunai janji

Seramai 49,111 pesakit buah pinggang tahap lima masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa menjalani rawatan dialisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hanya 2,641 atau kurang 1% daripada 510,186 yang berikrar sebagai penderma organ, menunaikan janji mereka sejak 1997 hingga April tahun ini.

Berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), hanya 2,641 pembedahan pemindahan organ dilakukan sejak tempoh itu, termasuk 1,752 pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma selepas meninggal dunia (kadaverik).

Dalam tempoh itu juga, seramai 49,111 pesakit buah pinggang tahap lima masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa menjalani rawatan dialisis.

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), Dr Zaki Morad Zaher, berkata walaupun jumlah pengikrar organ adalah tinggi, kekurangan bekalan organ buah pinggang adalah berpunca daripada sesetengah pengikrar yang meninggal dunia dalam keadaan tidak sesuai untuk organnya didermakan seperti meninggal di rumah.

“Apabila mereka meninggal di rumah dan tiada sesiapa yang tahu, kita terlepas peluang mengambil buah pinggangnya. Jika mereka meninggal di rumah, kita hanya boleh mengambil kornea (mata) dan tulang kerana ia boleh diambil selepas beberapa jam sekalipun.

“Penderma buah pinggang perlu meninggal dunia dalam keadaan tertentu seperti di hospital bagi membolehkan pihak hospital mengambil organnya. Ini kerana proses pembedahan itu perlu dilakukan segera iaitu dalam masa empat jam bagi membolehkan organ itu berfungsi,” katanya yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia.

Menurutnya, apabila pesakit buah pinggang sudah berada pada peringkat terakhir, mereka tidak lagi boleh mencegah penyakit itu yang mana ia hanya boleh dirawat menggunakan mesin dialisis sepanjang hayat ataupun menunggu organ daripada penderma.

“Daripada jumlah itu pula, hanya lebih kurang 20,000 pesakit buah pinggang yang layak menerima organ baharu atau menjalani rawatan transplantasi buah pinggang disebabkan faktor kesihatan tertentu.

“Lebih menyedihkan, kami hanya dapat 80 hingga 100 buah pinggang setiap tahun yang mana ia menyebabkan pesakit baharu buah pinggang terpaksa menunggu giliran hampir 20 hingga 30 tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma,” jelasnya.

Zaki berkata, jumlah pesakit buah pinggang peringkat lima (peringkat akhir) pada 2020 adalah 49,111 orang memerlukan rawatan dialisis.

“Daripada jumlah itu, 43,729 pesakit menjalani hemodialisis, memerlukan mereka pergi ke pusat rawatan atau hospital untuk membersihkan darah dengan mengeluarkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair.

“Selebihnya, sebanyak 5,382 pesakit menjalani rawatan dialisis peritoneal yang mana proses membersihkan darah itu dilakukan di rumah tanpa memerlukan pesakit hadir ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Zaki berkata, pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun apabila sebanyak 26,962 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga Disember 2020.