Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, status pemulihan bekalan air tersebut melibatkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Ia berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Abdul Raof, bekalan air di Hulu Selangor telah pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor dan Gombak masing-masing mencapai pemulihan pada tahap 96.1 peratus dan 90.5 peratus serta dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada Isnin ini.

“Bagaimanapun, bekalan air di kawasan Petaling dan Klang serta Shah Alam hanya pulih pada tahap 55.2 peratus dan 50.8 peratus. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada Rabu.

“Manakala di Kuala Lumpur bekalan air dijangka akan pulih Selasa ini dengan status pemulihan bekalan air terbaharu pada tahap 41.1 peratus,” katanya.

Katanya, kawasan di Kuala Langat tidak mencapai pemulihan bekalan air kerana masih di tahap 0 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya pada Rabu ini.

Sehubungan itu, Abdul Raof berkata, bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas.

“Memandangkan skala kawasan terjejas adalah besar, pihak kami telah mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat dan pili-pili awam di beberapa lokasi seperti yang dinyatakan.

“Selain itu, sebanyak 18,000 air botol 5 liter diedarkan kepada pengguna di kediaman bertingkat akan dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Air Selangor sedang meningkatkan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kesuruhan kawasan.

“Pengguna di kawasan yang telah pulih dan mendapat bekalan diminta untuk menggunakan air dengan berhemat dan elakkan pembaziran,” katanya. - UTUSAN ONLINE