Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Fokus pulihkan ekonomi, bukan Kuala Selangor, pemimpin Umno beritahu Zafrul

Khaled Nordin berkata Tengku Zafrul Aziz sepatutnya memberi fokus untuk memulihkan krisis ekonomi negara dan bukannya Parlimen Kuala Selangor yang sebelum ini diumum sebagai daerah angkat bagi kementerian Zafrul.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno hari ini mengkritik tindakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan Parlimen Kuala Selangor sebagai daerah angkat bagi kementeriannya.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata beliau seharusnya memberi fokus untuk memulihkan krisis ekonomi khususnya bekalan makanan dan sistem perkhidmatan awam yang berdepan pelbagai masalah.

“Kepada menteri kewangan, keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi. Keutamaan menteri nampaknya, Kuala Selangor.

“Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun anak angkat. Ini adalah dasar sasau dan keliru,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Zafrul mengumumkan Kuala Selangor sebagai daerah angkat oleh oleh Kementerian Kewangan, dan pemerhati politik berkata ia petunjuk kuat bahawa menteri kewangan berkenaan menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai lokasi penampilan sulungnya dalam pilihan raya.

Terdapat kekeliruan sama ada Zafrul adalah ahli Umno, tetapi Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengesahkan bulan lalu bahawa Zafrul menjadi ahli Umno sebelum menjadi menteri pada 2020.

Kerusi Kuala Selangor kini disandang oleh Dzulkefly Ahmad daripada Amanah, yang sebelum ini berkata, beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda Amanah.

Bagaimanapun, Dzulkefly yang juga ahli Parlimen dua penggal, berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk bersaing sekiranya Umno mencalonkan nama besar seperti Zafrul.

Selain itu, Khaled berkata menteri Keluarga Malaysia ketika ini tidak wajar membiarkan hanya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menanggung pelbagai masalah dihadapi negara ketika ini.

Beliau turut mempersoalkan kehadiran menteri berkaitan apabila Ismail berdepan pelbagai asakan mengenai krisis makanan dan perkhidmatan awam yang kurang cekap.

“Ekonominya menunjukkan pemulihan yang sangat perlahan. Pelaburan asing hanya sekadar iltizam di atas kertas. Krisis makanan adalah realiti yang nyata. Sistem imigrasi terus bermasalah. Kesesakan lalu lintas membarah apa lagi bila sistem rel semuanya semakin usang dan menua.

“Namun meletakkan segala kesalahan kepada perdana menteri adalah tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan,” tegasnya.

“Namun di mana semua menteri di kala perdana menteri berhadapan dengan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab.”