Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hukuman mati mandatori: Mansuh secara retrospektif, kerajaan diberitahu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bagi seorang wanita yang adiknya banduan akhir, keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori tidak bermakna melainkan ia diguna pakai secara retrospektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan membenarkan hakim menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

“Jika mereka melakukan ini dengan niat yang baik, maka mereka harus melaksanakannya secara retrospektif,” kata Suzana Norlihan Alias, yang adiknya dijatuhi hukuman mati pada 2009 selepas disabitkan kesalahan membunuh.

“Hukuman mati masih wujud. Jika kerajaan benar-benar mahu memansuhkan hukuman mati, mereka tidak akan memberi pilihan kepada hakim (untuk menjatuhkan hukuman mati).

“Sejujurnya, saya rasa keputusan ini hanya dibuat untuk meraih populariti dan undi. Ia tidak mengubah apa-apa untuk saya.”

Dalam wawancara dengan The Star yang diterbitkan beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, Wan Junaidi menjelaskan bahawa sebarang pindaan kepada undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori tidak akan bersifat retrospektif.

Terdapat 11 jenayah yang membawa hukuman mati mandatori di Malaysia, termasuk membunuh, keganasan, dan menculik. Ini bermakna hakim tiada pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila sabit kesalahan.

Budi bicara tidak bawa perbezaan

Suzana, yang juga seorang peguam jenayah berkata, hanya menghapuskan aspek “mandatori” dan membenarkan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman tidak membawa perbezaan.

Ini kerana hakim mungkin masih menjatuhkan hukuman mati kepada mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah sedemikian, terutamanya jika didesak pihak pendakwaan.

“Lihat sahaja kes pengedaran dadah,” katanya.

“Tiada lagi hukuman mati mandatori bagi Seksyen 39B (Akta Dadah Berbahaya). Namun, jika kita lihat statistik, kebanyakan pengedar dadah yang disabitkan kesalahan masih dijatuhkan hukuman mati.”

Walaupun pindaan 2017 kepada Akta Dadah Berbahaya memberikan hakim kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman, jawapan bertulis Parlimen Disember lepas menyatakan bahawa hanya dua daripada 71 individu yang dijatuhkan hukuman mati mengikut Akta itu sejak pindaan telah diubah hukuman mereka kepada penjara seumur hidup. Sebelum ini, pengedar dadah turut berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdapat 1,341 banduan akhir di Malaysia setakat Februari tahun ini, menurut jawapan bertulis Parlimen. Daripada jumlah ini, 905 disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah, 403 untuk membunuh, dan 33 untuk jenayah lain.

Kerajaan telah mengenakan moratorium ke atas semua hukuman mati sejak 2018.