Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Isu ‘jenaka rogol’ paksa keluarga Ain berpindah

Saiful Nizam Ab Wahab berkata keluarga itu diganggu selepas anaknya, Ain Husnizah menentang seorang guru kerana membuat jenaka rogol.

PETALING JAYA: Tindakan mereka yang menentang seorang guru dan pihak berkuasa kerana isu jenaka rogol, telah memberi kesan kepada Ain Husnizah Saiful dan keluarganya.

Menurut bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, mereka terpaksa berpindah dari Puncak Alam ke Cheras selepas berdepan tekanan daripada pihak sekolah, pelajar serta penduduk sekitar.

Katanya, situasi menjadi semakin teruk sejak kejadian pada April lalu itu sehingga dia merasakan tiada guna untuk menentang pihak sekolah dan masyarakat apabila mereka dilihat sebagai penyebab terhadap seluruh insiden itu.

Saiful berkata, mereka tidak membuat rayuan terhadap tindakan buang sekolah anaknya kerana tidak hadir selama tiga hari.

“Anak saya dijadikan seperti dia menjadi punca kejadian itu sedangkan dia sebenarnya adalah mangsa,” katanya.

Masalah Ain bermula apabila dia mendedahkan kepada umum dengan mendakwa bahawa guru pendidikan jasmani telah membuat jenaka tentang rogol yang didakwa mendorong pelajarnya melakukan jenayah itu.

Saiful berkata adik-beradik Ain di sekolah sama telah diejek manakala ada yang membuat pelbagai tuduhan terhadap keluarga itu.

“Memandangkan pihak berkuasa juga tidak bersimpati kepada kami pada masa itu, saya membuat keputusan berpindah ke Cheras pada Oktober tahun lalu selepas Sekolah Antarabangsa Chempaka menawarkan biasiswa kepada Ain,” katanya.

Saiful berkata, keluarga itu merasakan, dalam keadaan itu, ia adalah perkara yang sia-sia untuk terus berada di sekolah kerajaan.

Laporan polis yang mereka buat mengenai guru itu dan gangguan seterusnya telah diketepikan, selepas diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” oleh Jabatan Peguam Negara.

Sejak itu, Ain dan bapanya telah disaman oleh guru berusia 43 tahun, Khairul Nizam Sanuddin, kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya di media sosial dan melalui temuramah di akhbar selepas itu.

Mereka memfailkan tuntutan balas terhadap Khairul dan kerajaan kerana menyebabkan mendatangkan tekanan emosi yang dicetuskan oleh jenaka rogol dan selepas itu.

Mereka yang lain yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar pada masa itu, Sarimah Mohammed Nor, Pengarah Pendidikan Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan kerajaan.

Mereka juga telah membantah peguam kerajaan yang mewakili guru dan guru besar, yang telah disaman atas kapasiti peribadi mereka.