Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kelindan lori pukul, samun bekas kekasih diberkas

Polis berkata, suspek mengejar lalu memukul mangsa cuba melarikan diri, selain merampas telefon bimbit wanita itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kelindan lori kerana disyaki memukul dan menyamun bekas kekasihnya di Ampang Khamis lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata lelaki 26 tahun itu ditahan di Taman Cempaka, Ampang pada 9.45 malam tadi selepas polis menerima laporan mangsa berusia 21 tahun.

Susulan penahanan itu, polis merampas satu telefon bimbit daripada lelaki itu dipercayai milik mangsa.

“Suspek yang positif Methamphetamine dan Amphetamine direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Semakan mendapati dia mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek ke tempat kerjanya di sebuah farmasi di Ampang, sebelum diminta mengikut suspek yang mahu menghantarnya pulang ke rumah.

“Mangsa cuba melarikan diri dan suspek mengejar lalu memukulnya. Suspek turut merampas telefon bimbit mangsa dan akibat itu, mangsa sakit di bahagian mulut dan kaki serta dirawat di Hospital Ampang.”

Katanya, motif kejadian kerana suspek tidak berpuas hati bekas teman wanitanya itu mempunyai teman lelaki baharu.