Ramai yang mahu merakamkan gambar beliau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mereka berbalas-balas kenyataan dan sindiran susulan isu video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Seperti kita sedia maklum, Mohamed Azmin tidak muncul dalam program yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, sekali gus mengesahkan cakap-cakap bahawa PKR kini umpama ‘retak menanti belah’.

Parti yang ditubuhkan hasil gerakan reformasi 20 tahun lalu kini dilihat terbahagi kepada dua kem - satu bersama Mohamed Azmin, manakala satu lagi setia dengan Anwar.

Walaupun kebanyakan pemimpin PKR enggan mengulas perpecahan dalam parti itu, suasana di sekitar hotel lima bintang yang menjadi lokasi pemukiman itu menggambarkan realiti dalaman parti berkenaan.

Beberapa pemimpin yang hadir didengar berbual dan mengira jumlah Ahli Parlimen PKR yang menyokong orang No. 1 dan No. 2 parti itu. Ketika ini seramai 15 orang menyokong Mohamed Azmin, manakala 25 lagi bersama Anwar.

Malah, ketiadaan kebanyakan sekutu rapat Mohamed Azmin terutama Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin membayangkan ada yang tidak kena dengan parti itu.

Ucapan Dr. Mahathir ketika merasmikan pemukiman itu yang mengingatkan tentang bahaya pertelagahan dalam merebut kuasa boleh ditafsirkan sebagai nasihat kepada Anwar dan Mohamed Azmin supaya menghentikan perbalahan.

Apa pun alasannya, tindakan Mohamed Azmin dan kemnya seakan-akan memboikot program parti sendiri merupakan protes terbuka kepada Anwar yang menggesanya meletakkan jawatan jika terbukti beliau terbabit dalam video seks yang dimaksudkan.

Di sebalik sifat setia dan hormat kepada Anwar sejak lebih 20 tahun lalu, beliau kini tidak lagi segan-segan untuk ‘menyerang balas’ bosnya itu.

Berdasarkan perkembangan ketika ini, banyak pihak meramalkan kekusutan dalam PKR sukar untuk dijernihkan semula dan wujud kemungkinan ia akan mengheret parti itu dalam krisis lebih serius. - UTUSAN ONLINE