Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kerajaan perlu bendung kenaikan harga barang, kata Bersatu

Bersatu mahu kerajaan mengambil langkah komprehensif membendung kenaikan harga, selain memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi.

PETALING JAYA: Kerajaan harus mengambil langkah komprehensif bagi membendung kenaikan harga, selain memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Sehubungan itu katanya, parti berkenaan akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan.

“Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, semalam.

“Mesyuarat MPT antara lain membincangkan beberapa perkara berkenaan pengurusan parti dan isu-isu semasa terutamanya inisiatif untuk menangani isu kos sara hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam mesyuarat berkenaan semua anggota MPT sebulat suara bersetuju melantik Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT baharu.

Katanya, mesyuarat berkenaan juga turut menetapkan tarikh persidangan cawangan, bahagian dan persidangan agung tahunan (PAT) Bersatu 2022.

Beliau berkata, PAT Bersatu bakal diadakan pada 12 dan 13 Nov depan selepas kesemua persidangan cawangan dan bahagian selesai.

“Persidangan cawangan akan berlangsung bermula 19 Ogos hingga 18 Sept, persidangan bahagian pada 8 dan 9 Okt manakala perhimpunan agung sayap pada 10 dan 11 Nov.

“Sementara itu, urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” katanya.