Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Lelaki disyaki tikam mati isteri direman 7 hari

Suspek berusia 38 tahun itu sebelum ini mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas tentera yang disyaki menikam mati isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, semalam direman seminggu bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali, menurut Utusan Malaysia.

Terdahulu, suspek berkenaan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar dengan berpakaian oren, kira-kira 8.20 pagi.

Semalam, Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata mayat wanita itu ditemui di bilik tidur dalam keadaan berlumuran darah dan ditutup selimut tebal, selepas suspek menyerah diri di IPK Perlis kira-kira 10 pagi.

Beliau berkata, jururawat 31 tahun itu dipercayai ditikam pada dada kiri dalam kejadian kira-kira 6 pagi, dengan tikaman sedalam kira-kira 2cm dikesan.

Katanya, pasangan itu meninggalkan dua anak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.

Mohsin berkata, sebilah pisau ditemui disimpan dalam sebuah beg di dapur yang dipercayai digunakan suspek dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dipercayai, mangsa ditikam selepas berlaku pergaduhan akibat cemburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.