Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mavcom cukup kuorum, 3 pesuruhjaya dilantik

Persoalan sebelum ini dibangkitkan berhubung kegagalan Kementerian Pengangkutan melantik pesuruhjaya baharu sejak beberapa bulan lalu, mengakibatkan Mavcom tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik. (Gambar MAVCOM)

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengumumkan pelantikan tiga pesuruhjaya dalam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, Long See Wool dilantik semula berkuat kuasa 1 Mac 2022 dan tempoh perkhidmatannya akan berakhir pada 28 Feb 2025.

Beliau turut menamakan dua pesuruhjaya baharu, Tan Kor Mee dan Wan Kamaruzaman Wan Ahmad yang penggalnya akan berlangsung dari 8 Jun 2022 hingga 7 Jun 2025.

“Saya memberi jaminan bahawa operasi dan pentadbiran (Mavcom) diteruskan tanpa henti di bawah kepimpinan yang profesional dan berpengalaman,” katanya dalam kenyataan.

Ini susulan berakhirnya penggal tiga tahun Long, Mah Weng Kwai dan Fauziah Yaacob sebagai pesuruhjaya pada akhir Februari. Mereka semua dilantik pada 1 Mac 2019.

Minggu lepas, persoalan dibangkitkan berhubung kegagalan kementerian melantik pesuruhjaya baharu sejak beberapa bulan lalu.

Menurut sumber, Mavcom tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik disebabkan kelewatan kementerian membuat pelantikan.