Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PAS takut hilang banyak kerusi jika PRU awal, Zahid bidas Hadi

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) membidas Abdul Hadi Awang selepas presiden PAS itu menggelar pihak yang mahu mempercepatkan PRU15 sebagai kumpulan kemaruk kuasa.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membidas Abdul Hadi Awang sebenarnya takut PAS akan kehilangan banyak kerusi, jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan.

Beliau berkata demikian selepas Hadi menggelar pihak yang mahu mempercepatkan PRU15 sebagai kumpulan kemaruk kuasa.

“Mungkin kalau pilihan raya cepat, dia khuatir paritnya (kerusi) akan hilang kurang 18 kerusi Parlimen sedia ada (yang dimenanginya pada PRU14),” kata Zahid selepas merasmikan Wacana Aspirasi Orang Muda di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata, pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU15 adalah kumpulan sebenar kemaruk kepada kuasa.

“Biasanya orang yang nak cepat (PRU) ni yang gila kuasa, yang nak tangguh ni tak gila…kita fikir panjang,” katanya selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu.

PRU15 perlu diadakan menjelang pertengahan September 2023, tetapi Umno mendesak ia diawalkan dengan memanfaatkan momentum yang diperolehinya selepas kemenangan bergaya dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

PAS bagaimanapun bertegas PRU15 wajar diadakan pada pertengahan 2023 selepas penggal Parlimen ke-14 berakhir.

Naib Presidennya, Idris Ahmad pada 5 Jun lalu dilaporkan berkata, pendirian itu tidak akan berubah sehinggalah pucuk pimpinan PAS membuat keputusan baharu.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tidak akan melewatkan walaupun sesaat untuk membubarkan Parlimen dan beliau akan berbincang dengan kepimpinan parti untuk menentukan tarikh PRU15.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang menyifatkan ahli politik menggesa PRU15 diadakan ketika negara berdepan inflasi sebagai mementingkan diri, Zahid berkata, bekas menteri itu tidak konsisten.

“Nazri adalah individu sangat dinamik, dia bercakap seusia dengan ketikanya, kerana dulu dia cakap nada lain,” katanya.