Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pemaju harap Bajet 2024 tangani isu rumah mampu milik

Rehda berharap insentif diperkenalkan atau diperkenalkan semula dalam Bajet 2024 agar lebih ramai rakyat boleh membeli rumah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) berharap kerajaan akan menangani isu mampu milik atau ketidakmampuan memiliki rumah di negara ini, selain memperkenalkan langkah untuk meringankan cabaran yang terus dihadapi pemaju dalam Bajet 2024.

Presidennya NK Tong berkata, memandangkan kemampuan perumahan kekal menjadi isu utama dalam kalangan rakyat dan industri, Rehda berharap insentif diperkenalkan atau diperkenalkan semula agar membolehkan lebih ramai rakyat membeli rumah.

“Langkah ini termasuk insentif dari segi pengurangan cukai, geran serta kadar faedah lebih rendah yang tentunya mengurangkan bebanan pemilik rumah pada masa akan datang, terutamanya bagi pembeli rumah kali pertama.

“Kami juga memohon agar Kempen Pemilikan Rumah diteruskan berikutan dua kempen pada 2019, dan 2020 hingga 2021 bukan sahaja membantu ribuan rakyat memiliki rumah idaman, malah turut memberikan sumbangan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara,” katanya.

Rehda berkata, selain kaedah subsidi silang yang dilaksanakan oleh pemaju untuk membina perumahan mampu milik, satu lagi faktor yang menyumbang kepada isu ini ialah kenaikan kos input bagi bahan binaan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan peningkatan harga rumah.

Menurutnya, langkah penglibatan kerajaan seperti mengurangkan sementara atau menghapuskan levi import akan membantu menyelesaikan masalah ini.

“Malah, kenaikan kos tanah turut memberikan impak buruk kepada harga rumah,” katanya.

Persatuan itu mengulas kenyataan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein bahawa pembiayaan negeri perlu ditambah baik bagi mewujudkan perumahan mampu milik berikutan 95% daripada pendapatan negeri diperoleh daripada beberapa cukai hartanah seperti premium penukaran tanah.

“Sebagai pemaju, kami bersetuju sekiranya caj yang dikenakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dikurangkan, harga rumah dijangka diturunkan sehingga kepada tahap yang menjadikan pemilikan rumah oleh setiap individu dapat dicapai,” kata Tong.

Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata, Bajet 2024 diharap bukan sahaja melihat kepada kaedah untuk meningkatkan pendapatan dan upah, malah bagaimana ia mampu menguruskan dan melaksanakan inisiatif berkaitan perumahan mampu milik dengan berkesan.

Beliau berkata, ini berikutan perbezaan pendapatan dan pendapatan median perlu selari dengan harga hartanah disebabkan ia hanya meningkat 2.5% tahun lepas berbanding lebih 3% ketika sebelum pandemik.

“Kami melihat pendekatan tertumpu kerajaan terhadap perumahan mampu milik, subsidi dan menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya.

“Namun, apa yang lebih penting, kami mahukan perancangan dan pelaksanaan yang lebih berkesan. Kami mahu ini dilakukan dengan baik supaya jurang pendapatan dapat dikecilkan.”