Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pendidikan universiti percuma di Sarawak dijangka mula 2026

Premier Sarawak Abang Johari Openg menjangkakan ekonomi negeri itu akan menjadi lebih kuat pada 2026, membolehkan anak Sarawak mendapat pendidikan tinggi percuma di sana. (Gambar Bernama)

SIMANGGANG: Pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak untuk anak jati negeri itu dijangka dapat dilaksanakan pada 2026, kata Premiernya Abang Johari Openg.

Beliau berkata, unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 memberi beliau keyakinan untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

“Saya boleh katakan 2026 (untuk menyediakan pendidikan universiti percuma) sebab saya telah congak-congak kekuatan ekonomi kita akan lebih kuat pada 2026.

“Kalau 2022, pendapatan negeri dah bertambah hingga (RM)12 bilion, pengiraan (saya) tahun ini kemungkinan kita memecahkan rekod (pendapatan) 2022,” katanya.

Berucap pada majlis penutupan Pesta Benak Edisi ke-20 di sini hari ini, beliau berkata, hasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma ini adalah untuk memastikan lebih ramai lagi anak Sarawak berkelayakan dan berkemampuan menggunakan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri.

“Kita sudah ada ‘sovereign fund’ (dana berdaulat) untuk masa depan kita dan bakinya akan kita tumpukan kepada pendidikan anak-anak kita, selain memantapkan ekonomi serta membangunkan lagi infrastruktur kita,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, satu kawasan antara bahagian Samarahan dan Sri Aman telah dikenal pasti untuk pelaksanaan penanaman padi berskala besar menggunakan teknologi terkini.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan pendekatan jangka panjang bagi memastikan Sarawak tidak berdepan kekurangan bekalan beras tempatan.

“Kita (kerajaan Sarawak) sudah ada dasar mengeluarkan beras menggunakan teknologi baru, anak benih baharu. (Kita tidak mahu) apabila beras dah kurang, barulah nak berkira (untuk mengadakan dasar pengeluaran beras),” katanya.