ScaleUp Malaysia dalam kenyataannya berkata, hanya 10 syarikat berpotensi untuk berkembang di peringkat serantau dengan nilai menjangkau sekurang-kurangnya RM100 juta akan terpilih ke dalam setiap satu daripada lima pengambilan.

Jelasnya, peserta akan menerima pelaburan sebanyak RM200,000 untuk memperbesarkan pendapatan dan pelan pertumbuhan mereka.

“Pasukan ScaleUp Malaysia telah berjaya meraih jumlah pelaburan daripada rangkaian mereka untuk pengambilan yang pertama. Program ini distrukturkan sebagai program intensif selama lima bulan meliputi latihan ala bilik darjah, analisis jurang, bimbingan berstruktur intensif dan kem latihan persediaan bertemu pelabur.

“Antara ciri utama program pecutan ini adalah setiap syarikat akan menerima sokongan selama 24 bulan daripada pasukan pengurusan luar untuk melengkapi keupayaan pengurusan kanan seperti ketua pegawai strategi, ketua pegawai kewangan, ketua pegawai teknologi, ketua pegawai pemasaran dan lain-lain lagi,” katanya di sini hari ini.

ScaleUp Malaysia adalah idea Dr. V. Sivapalan dan S. Renuka Sena daripada Proficeo.

Syarikat berkenaan telah melaksanakan sebahagian daripada program pembangunan syarikat permulaan yang paling berjaya di Malaysia seperti Coach and Grow Programme dan Investor Readiness Programme hasil kerjasama Cradle Fund dan program eUsahawan Level Up dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sejak 10 tahun yang lalu, program-program yang dilaksanakan Dr. Sivapalan dan Renuka telah memberikan impak kepada lebih 1,000 syarikat dan 2,000 usahawan dengan sumbangan sebanyak RM2.3 bilion kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Dr. Sivapalan berkata, keberanian diperlukan untuk menubuhkan syarikat permulaan tetapi mereka memerlukan strategi berfokus untuk pertumbuhan yang pesat.

“Melalui program pecutan ini, kami akan membimbing syarikat permulaan dengan pertumbuhan yang pesat daripada sudut strategi, model perniagaan untuk pertumbuhan dan skala di samping menyokong usaha mereka untuk meraih dana,” katanya. - UTUSAN ONLINE