Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ubat antiviral Covid-19, Paxlovid, diperluas ke fasiliti swasta, kata KJ

Seramai 1,364 pesakit menerima ubat antiviral oral pertama merawat Covid-19, Paxlovid, dan mereka sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan teruk, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperluaskan ubat antiviral oral pertama merawat Covid-19, Paxlovid, di fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam tempoh terdekat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, penggunaan ubat berkenaan yang dimulakan di fasiliti kesihatan kerajaan bermula 15 Apr itu sudah diberikan kepada 1,364 pesakit dan mereka sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan.

“Pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma. Bagaimanapun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.

“Selain itu, pihak kementerian juga dalam usaha memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang optimum, akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 bagi jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

“Buat masa ini, ubat antibodi EVUSHELD ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Pre exposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti,” katanya.

Khairy berkata, penilaian kelayakan pesakit menerima ubat antibodi berkenaan akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat dan kriteria pemilihan pesakit berumur 12 tahun dan ke atas, berat badan melebihi 40kg dan dalam golongan Immunocompromised sederhana hingga teruk.

Katanya, selain itu, ubat terbabit juga boleh diberikan kepada individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19.

“Kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab, dan diberikan secara berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata, bagi pesakit immunocompromised yang telah menerima vaksin Covid-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi.