Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Zuraida perlu diganti, wadah politiknya sudah berbeza, kata pemimpin Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na’aman berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada perdana menteri bagi menentukan kedudukan Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berpandangan bahawa tidak wajar untuk mengekalkan Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berikutan beliau sudah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na’aman berkata, PBM yang disertai Zuraida itu tidak tergolong dalam kelompok parti membentuk kerajaan sekarang.

“Malah, PBM tidak juga terlibat dengan parti pembangkang lain yang sudah ada perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

“Maka pada pandangan Bersatu, adalah kurang rasional untuk terus mengekalkan Zuraida dalam Kabinet serta lantikan politiknya kerana wadah politik mereka sudah berbeza dan di luar sebarang perjanjian bersama,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Zuraida menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri walaupun terdapat desakan daripada Bersatu.

Beliau berkata, semuanya bergantung kepada budi bicara perdana menteri untuk membuat keputusan.

Minggu lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mahu jawatan Zuraida dalam Kabinet itu diberikan kepada pemimpin lain daripada parti itu selepas beliau mengumumkan keluar parti dan menyertai PBM.

Dalam pada itu, Faiz berkata, adalah wajar Ismail mempertimbangkan rombakan Kabinet bagi menggantikan kedudukan Zuraida dan menteri lain yang dirasakan perlu bagi memantapkan lagi pengurusan kerajaan di waktu krisis ekonomi global ini.