Dalam kejadian pukul 3.50 petang, mangsa, Lim Shiang Ren, 30, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala rakannya, Ng Ling Sing, 24, mengalami kecederaan parah di tangan kanan dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Jenis Yamaha LC dari arah Jalan Sentral 28 menghala ke Jalan Sentral 3 melanggar lampu isyarat di simpang empat itu.

Katanya, tindakan itu menyebabkan mangsa melanggar bahagian hadapan kanan lori yang datang dari arah Bukit Indah menghala ke Gelang Patah.

“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa dan pembonceng telah tercampak ke tengah jalan. Lelaki itu disahkan maut di lokasi manakala wanita berkenaan yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, tempat kejadian merupakan kawasan simpang empat lampu isyarat, jalan bandaran serta terdapat 2 lorong sehala.

“Keadaan jalan raya dalam keadaan rata, kering dan bertar. Keadaan cuaca ketika kemalangan berlaku juga dalam keadaan baik,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE