Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Perkaya Negeri Terengganu, Mustafa Said; Pengerusi Perkaya Daerah Kemaman, Ahmad Mahmood dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Razali Salleh.

Che Alias dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada Perkaya Terengganu dan juga Perkaya Daerah Kemaman atas keperihatinan dan kecaknaannya terhadap anak yatim dengan menghulur sumbangan pakaian raya, sebulan lebih awal bagi membolehkan mereka bergembira menyambut Aidilfitri nanti.

“ Anak yatim merupakan anugerah Allah. Dengan ketiadaan ibu atau bapa ketika anak-anak ini masih kecil, mereka telah belajar berdikari berbanding mereka yang mempunyai ibu-bapa.

“Walaupun kita tidak mengenal dan bermanja dengan ibu-bapa kita, kita mesti berdoa dan berterima kasih kepada mereka kerana tanpa mereka tidak mungkin kita dilahirkan dan dapat melihat dunia ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Perkaya Negeri Terengganu, Mustafa Said berkata, Perkaya didaftarkan pada 4 Disember 1980 dan mulai mengambil anak yatim untuk ditempatkan di Asrama Perkaya, Pulau Kerengga, Marang pada tahun 1985.

Beliau menjelaskan, pada masa ini Perkaya mempunyai lima buah asrama di seluruh Terengganu iaitu masing-masing sebuah di Marang, Besut dan Dungun manakala dua lagi di Kuala Terengganu.

“Perkaya memang berhasrat mewujudkan asrama anak yatim di setiap daerah di Terengganu pada masa akan datang namun ia bergantung kepada kemampuan,” katanya.

Mengenai sumbangan pakaian raya, Mustafa berkata, tahun ini Perkaya membelanjakan RM57,500 bagi penyediaan pakaian raya untuk anak yatim.

“Bagi pelajar tahun 3 dan tahun 6 yang ingin tinggal di asrama Perkaya tahun depan, boleh memohon dengan mengisi borang yang boleh di dapati di sekolah masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE