LONDON - Douglas Costa tidak mengetahui ke mana destinasi Neymar musim depan, namun percaya rakan sepasukan Brazil itu akan mendapat tawaran tepat pada masanya.

Neymar muncul pemain termahal dunia apabila menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai 222 juta euro (RM1.038 bilion) pada 2017, namun gagal memberikan impak besar untuk juara Ligue 1 itu dalam kancah Liga Juara-Juara.

Pemain sayap Juventus, Costa, yang menyertai Piala Dunia 2018 bersama Brazil namun gagal menempatkan diri dalam Copa America tahun ini percaya, Neymar akan membuat pilihan yang tepat.

“Saya tidak tahu (ke mana Neymar akan pergi), saya rasa orang lain juga tidak tahu, hanya Neymar.

“Ia adalah keputusan yang sangat peribadi namun dia akan memilih yang terbaik dalam kariernya,” ujar Costa.

Khabar angin turut mengatakan Philippe Coutinho akan menggantikan Neymar di PSG, selepas bekas pemain Liverpool itu kurang menyerlah di Barca sejak berpindah ke Nou Camp pada Januari 2018.- AGENSI