Ketua jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, skuad Malaysian Tigress akan meneruskan latihan seperti biasa sehingga mereka mengetahui ranking terbaharu dunia pada September ini, yang akan menentukan nasib Malaysia sama ada layak bersaing dalam aksi kelayakan tersebut.

Malaysia perlu berada pada kedudukan kelompok 20 pasukan terbaik dunia bagi membolehkan mereka beraksi di pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 yang dijangka berlangsung pada Oktober atau November depan.

“Kita hanya akan mengetahui ranking terbaharu dunia pada September ini kerana masih terdapat beberapa kejohanan sedang berlangsung ketika ini termasuk pusingan kedua dan ketiga Siri Akhir Wanita di Jepun dan Sepanyol.

“Belarus dan Kanada berada pada kedudukan ke-19 dan ke-20 ranking dunia ketika ini, namun saya percaya keputusan menewaskan pasukan ranking ke-18 dunia, Republik Czech pada Siri Akhir Wanita, baru-baru ini membolehkan kita mengutip mata lebih banyak,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mengakhiri saingan di tempat ketiga di belakang Korea Selatan dan Ireland pada pusingan pertama Siri Akhir Wanita di Banbridge, Ireland Utara, baru-baru ini, sekali gus perlu menunggu kedudukan ranking dunia untuk mengetahui nasib mereka ke Sukan Olimpik 2020.

Berdasarkan format kelayakan Sukan Olimpik 2020, hanya juara daripada setiap kejohanan benua seperti Sukan Asia dan Kejohanan Eropah, layak secara automatik ke temasya sukan empat tahun sekali itu.

Baki tujuh slot lagi akan diisi 14 pasukan yang akan bersaing dalam perlawanan kelayakan Olimpik yang dijangka diadakan pada Oktober atau November ini.

Jepun layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 selaku tuan rumah. - BERNAMA