Menurut Anwar, dalam pertemuan itu beliau mengulangi pendirian bahawa PKR menolak budaya politik jijik dan keji serta melahirkan rasa simpati terhadap Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan keluarga.

“Dalam pertemuan itu saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau (Perdana Menteri) untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet,” jelas Anwar dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Sejak minggu lalu, negara dikejutkan dengan penularan video seks songsang yang didakwa mirip seorang menteri kanan dan pemerhati menganggap penyebaran tersebut satu strategi untuk membunuh karier politik mereka yang dikaitkan dengan video berkenaan.

Di dalam pertemuan dengan Dr. Mahathir itu juga, Anwar menegaskan wujudnya unsur politik terkait isu tersebut dan maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas.

Pertemuan itu diadakan sebelum Perdana Menteri berlepas ke Bangkok, Thailand untuk lawatan kerja sehingga Ahad ini.

Anwar sebelum ini turut datang ke Pejabat Perdana Menteri berhubung isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM).- UTUSAN ONLINE