Bagi Presiden Persatuan Veteran ATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar, secara peribadi, beliau melihat istilah minta maaf yang diutus oleh Yew Yin seolah-olah tiada nilai.

Bahkan, menurut Sharuddin, sepatutnya dalam usia 83 tahun, individu itu tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata yang menghina anggota tentera.

"Segala-galanya bermula dengan keamanan. Apabila negara selamat, semua senang termasuk ahli perniagaan. Selepas berjaya, anda boleh katakan keamanan tu tak penting, yang penting perniagaan anda berjaya.

"Fahami dan jiwailah kehidupan sebelum itu kerana sebelum sesebuah negara itu dibentuk, angkatan tentera terlebih dahulu dibentuk," katanya yang hadir sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues di Utusan Online, pagi tadi.

Sekali menegaskan, tohmahan anggota tentera hanya makan tidur, Sharuddin berkata, anggota tentera sentiasa berada dalam keadaan siap siagaan yang mana sekiranya berlaku sesuatu, ATM sudah bersiap sedia.

"Menggantikan pendatang asing bekerja di ladang dengan anggota tentera di Felda, martabatnya lebih rendah daripada pendatang asing dan itu adalah satu lagi penghinaan yang dilontarkan oleh ahli perniagaan berkenaan.

"Tidak ada dalam perundangan, apabila anda membuat sesuatu kenyataan, anda terimalah natijahnya.Saya tidak mengaktegorikan hukuman apa tetapi negara kita ada undang-undang. Kita diajar menghormati undang-undang," ujarnya.

KAPTEN DATUK SHARUDDIN OMAR
DATUK SHARUDDIN OMAR 

Beliau berkata, secara peribadi, beliau tidak menerima dan tidak memaafkan ahli perniagaan yang mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap anggota tentera.

"Perkataan maaf ini menjadi satu budaya di negara kita. Saya cakap dan saya boleh minta maaf. Habis. Budaya ini tidak boleh lagi wujud di Malaysia kerana menjadi budaya yang dirancang. Dia perlu menyedari atas perkataan yang dihamburkan.

"Apabila mengeluarkan satu perkataan, seluruh negara akan terima dengan cepat dan mudah tetapi permohonan maaf itu segelintir sahaja kerana teguran yang pertama itu umpama suntikan yang berkesan.

"Saya menegaskan, permohonan maaf itu memang mungkin tidak boleh diterima dan dimaafkan. Apabila dihamburkan oleh individu yang berjaya dalam bidang perniagaan menggambarkan negara ini dipertahankan oleh anggota yang hanya makan dan tidur, tanpa dia menyedari segala-galanya wujud dengan keamanan, keselamatan dan menjamin keselamatan.

"Apabila negara selamat, semuanya menjadi mudah dan anggota ATM lah yang menjaga keamanan," tegasnya.

Yew Yin sebelum ini telah menulis surat permohonan maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kenyataannya yang menghina anggota tentera.

Beliau menulis surat tersebut beberapa hari lalu dengan mengakui kesilapannya kerana kenyataannya anggota tentera hanya makan dan tidur. Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina dengan mencadangkan anggota tentera membantu kerja ladang di Felda. - UTUSAN ONLINE