Suarez, yang menjaringkan 25 gol dalam semua pertandingan musim ini, akan terlepas aksi akhir Copa del Rey menentang Valencia hari ini (esok pukul 3 pagi waktu Malaysia) selepas menjalani pembedahan lutut.

Ketiadaan pemain kebangsaan uruguay itu akan menyaksikan Barcelona tanpa penyerang tulen selepas juara Sepanyol itu bergelut untuk mencari pelapis Suarez sepanjang musim ini.

Pembedahan tersebut meletakkan Suarez dalam situasi tidak menentang untuk Copa America bulan depan, dengan Uruguay bersedia menentang Ecuador pada 16 Jun ini.

Tabarez bagaimanapun sangat berharap penyerang veteran itu mampu kembali dan membantu Uruguay bersaing dalam kejohanan tersebut.

“Saya fikir dia boleh. Saya harap begitu, dia menjalaninya dengan baik. Saya tidak boleh mengulas lanjut tetapi dia ada sentiasa mengemas kini keadaannya menerusi video dan imej.

“Dia sedang menjalani pemulihan dan saya tahu makna yang diberikan Luis menerusi video dan imej itu. Saya tahu dia akan memberi 100 peratus tumpuan sebelum pertandingan bermula.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa, kecederaan sentiasa disebabkan oleh keadaan, bukan kehendak pemain, dia sentiasa ingin cergas.

“Dia sangat profesional tentang itu dan dia sentiasa memiliki rekod yang baik. Jadi saya berharap sangat dia bersedia untuk pasukan kami, dia sangat penting bagi kami,” ujar Tabarez.- AGENSI