Kapten Argentina itu pernah dinobat sebagai pemenang lima kali, namun kemenangan terakhir hanya hadir pada 2015.

Ramai yang melihat Messi sebagai pilihan untuk memenangi anugerah kali ini selepas meledak 51 gol dan mencipta 22 gerakan gol dalam 22 perlawanan (semua pertandingan) musim lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak tahu apakah dia boleh meraih satu lagi kemenangan.

"Saya tidak tahu. Ballon d'Or sangat pelik, tiada siapa tahu pemain yang menjadi pilihan.

"Baru-baru ini, mereka lebih melihat kepada pencapaian kelab, yang mana saya fikir ia perkara yang bagus.

"Ada masanya pula ia berdasarkan kepada Piala Dunia, dan tidak semua pemain punya nilai yang sama.

"Secara jujur, tidak ada garis panduan tertentu yang boleh menentukan pemenang Ballon d'Or.

"Saya tidak pernah merasakan diri saya adalah pilihan atau tidak. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengiktirafan individu adalah perkara kedua buat saya," katanya kepada majalah sukan Sepanyol, Sport.

Messi turut mengulas mengenai kegagalan Barcelona memenangi Liga Juara-Juara serta Copa del Ray musim lalu.

"Ia bukan tahun yang hebat kalau anda melihat bagaimana musim berakhir tetapi secara keseluruhan kami mengharungi saingan dengan baik.

"Penyingkiran dalam Liga Juara-Juara (separuh akhir) menyebabkan keseluruhan musim kami kelihatan teruk sedangkan kami melakukan tugas dengan baik," katanya yang membantu Barca muncul juara La Liga. - AGENSI