logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo
star Bookmark: Tag Tag Tag Tag Tag
Malaysia

Buang bayi setiap 3 hari

SETIAP tiga hari akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup.

Walaupun ia sesuatu yang menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah fakta sebenar serta realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.

Malah, berdasarkan statistik dikumpulkan mendapati sejumlah 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Rekod itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan diterima serta siasatan dilakukan sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail berkata, rekod menunjukkan sebanyak 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada tahun 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).

Menurutnya, berdasarkan statistik kes buang bayi, negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

“Sementara itu Perlis mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi terendah iaitu sebanyak tujuh kes diikuti Terengganu (12 kes) dan Melaka (13 kes),” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 435 bayi dibuang didapati baru dilahirkan manakala 142 lagi adalah dalam bentuk janin bayi.

“Berdasarkan statistik oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), PDRM bagi tahun 2014 hingga 2018, mendapati individu yang membuang bayi atau janin gemar menjadikan kawasan perumahan sebagai lokasi melakukan kegiatan itu berdasarkan 170 kes dilaporkan.

“Selain itu, suspek didapati gemar membuang bayi atau janin di dalam tandas (74 kes), pusat pembuangan sampah (51 kes), masjid dan surau (44 kes), Loji, longkang dan pusat kumbahan (44 kes), tepi kedai dan bangunan (33 kes), tepi jalan (28 kes) dan semak (23),” katanya.

Ditanya kes pembuangan bayi yang ditinggalkan ibu di hospital, Zulkifli berkata, sebanyak 19 kes bayi ditinggalkan di hospital direkodkan setakat ini.

“Setakat ini, JKM tidak mempunyai statistik berhubung kes bayi yang ditinggal berlaku di kawasan di bandar besar atau sebaliknya.

“Bagaimanapun lokasi tempat pembuangan bayi mengikut statistik D11 PDRM menunjukkan kebanyakan kes pembuangan bayi berlaku di kawasan penempatan dan mempunyai bilangan penduduk tinggi,” katanya.

Menurutnya, isu pembuangan bayi sukar diselesaikan sepenuhnya berikutan ia adalah masalah sosial berkait rapat dengan pelbagai faktor berkait.

“Selain penambahan jumlah penduduk, faktor penghijrahan belia ke bandar besar selain kebejatan masalah sosial menyebabkan kes ini terus berlaku.

“Longgarnya ikatan kekeluargaan dan pegangan agama terutama di kalangan muda turut menjadi punca. Namun tidak semua kes buang bayi membabitkan warga tempatan berikutan statistik menunjukkan tujuh kes membabitkan bayi warga Indonesia, tiga bayi Thailand manakala 376 kes lagi tidak dapat dikenal pasti bangsa bayi itu,” katanya.

Themes
ICO