Sejak minggu lalu, beberapa nama dan tokoh politik disebut-sebut untuk mengambil alih kerusi panas tersebut seperti Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua PKR Cabang Bachok, Datuk Mohd. Rowi Dollah yang juga Exco KAFA bagi penggal 2018-2021.

Dalam pada masa, gabungan persabutan bola sepak jajahan (PBJ) dilihat bersetuju untuk mengadakan EGM dalam masa terdekat selepas wakil mereka mengakui telah menyenarai pendek beberapa nama untuk dicalonkan bagi jawatan tertinggi persatuan tersebut.

Wan Abdul Rahim ketika dihubungi Utusan Malaysia menyatakan kesediaan­ untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi me­ngetahui kedudukan kewangan sebenar KAFA sebelum membuat keputusan menerima pencalonan itu.

“Saya cuma minat bola sepak, main bola dari umur 11 tahun lagi sehingga sekarang umur 67 tahun dan masih berjaga sehingga pukul 3 pagi untuk menonton bola. Saya bukan ahli dalam mana-mana PBJ atau KAFA.

“Saya bersedia untuk berbincang dan melihat dahulu kedudukan KAFA. Berapa ba­nyak hutang, berapa banyak bajet yang diperlukan untuk tempoh enam bulan sebelum berakhir musim ini.

"Saya tidak mahu masuk ke dalam perangkap kerana saya tidak tahu berapa banyak hutang KAFA sekarang,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rowi pula menolak dicalonkan ke kerusi nombor satu KAFA tetapi menyatakan komitmennya untuk membantu badan induk bola sepak negeri ini dan mengakui akan bertemu dengan Wan Abdul Rahim berbincang mengenai persatuan tersebut.

Katanya, pemilihan ‘orang politik’ daripada parti kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui KAFA amat penting bagi mendapatkan tajaan seperti mana yang dilakukan oleh bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dahulu.

“Salah seorang calon ialah Cikgu Wan Rahim. Saya akan bertemu dengannya pada petang ini untuk berbincang mengenai KAFA.

“Beliau memerlukan maklumat sebelum membuat keputusan menerajui persatuan ini. Maklumat yang saya ada tidak banyak kerana pengurusan KAFA tidak pernah membentangkan dengan terperinci kedudukan kewangan persatuan dalam mesyuarat.

“Bagi saya, Kelantan perlu diselamatkan sebelum jatuh ke Liga M3. Kalau jatuh masalah lagi besar khususnya untuk mendapatkan tajaan.

“Saya sudah bercakap dengan Datuk Seri Mohd. Supardi Md Nor (Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri), beliau tidak berminat untuk jawatan nombor satu, begitu juga Datuk Husam Musa (Pengerusi PH negeri) tetapi beliau menyatakan kesediaan untuk membantu bagi mendapatkan tajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad berkata, gabungan persatuan bola sepak peringkat daerah di seluruh negeri ini sudah menyenarai pendek nama individu yang akan diangkat sebagai presiden baharu nanti.

“Setakat ini ada tiga calon, dua daripada mereka adalah orang politik dan mempunyai pengetahuan asas dalam bola sepak namun gabungan PBJ belum memutuskan siapa yang layak untuk mengemudi KAFA.

“Apa yang kami lakukan ini untuk menyelamatkan KAFA dan bukan semata-mata mencari presiden baharu. Saya bimbang jika langkah menyelamat tidak dilakukan dengan segara KAFA akan bertambah parah,” ujarnya yang enggan mendedahkan nama tersebut.

Utusan Malaysia pada 30 April lalu melaporkan, seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA tetapi dikatakan ditolak oleh gabungan PBJ. Kelantan kini berada ditangga tercorot Liga Perdana.