Walaupun sibuk dengan tugasan rasminya, kesempatan Mohd. Redzuan meninjau dan mengambil berat pandangan serta permasalahan dalam kalangan peniaga memperlihatkan kesungguhan beliau membantu mereka yang berhadapan bermacam situasi jatuh bangun sebagai usahawan.

Malah setelah beliau melihat sendiri keadaan sebenar di Kompleks Pekan Rabu ternyata banyak perkara dikongsi bersama terutama bagaimana mahu memperkasakan mereka dalam bidang perniagaan.

“Kesempatan berkunjung ke Kompleks Pekan Rabu ini memberi peluang untuk saya mengetahui permasalahan dihadapi para peniaga di sini.

“Dengan ini saya juga boleh mendengar sendiri masalah serta cadangan secara terus dari mulut peniaga itu sendiri,” katanya.

Malah kesempatan meluangkan masa kira-kira tiga jam di kompleks itu turut memberi peluang untuk beliau membeli songkok berjenama Style Tun.

Kedai berkenaan merupakan yang sering dikunjungi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membeli songkok.

Pekan Rabu juga merupakan komplek beli belah barangan keluaran tempatan yang melakar sejarah sebagai tempat Dr. Mahathir mula-mula belajar berniaga ketika di zaman remaja beliau.

“Bagi saya kunjungan ini dilihat mampu memahami serta menyelesaikan segera permasalahan dengan mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Antara masalah utama dihadapi mereka adalah modal untuk mengembangkan perniagaan.

“Oleh itu saya sangat berharap dapat berkunjung ke kawasan ramai orang Melayu berniaga bagi membantu memperkasakan lagi usahawan Melayu di seluruh negara,” kata Mohd. Redzuan. - UTUSAN ONLINE