Malaysia

Dr M bantah mansuh tol, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, Dr Mahathir Mohamad membantah sebarang pengurangan kadar tol atas alasan janji pilihan raya itu tidak boleh dilaksanakan.

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menunaikan lebih banyak janji pilihan rayanya, termasuk pemansuhan tol, jika tidak dibantah Dr Mahathir Mohamad dan sesetengah anggota Kabinet ketika itu.

“Apabila bercakap mengenai dasar yang kami cuba laksanakan, kami berdepan halangan. Bukan saja daripada perdana menteri (ketika itu), tetapi juga menteri lain,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Ada dalam kalangan kami yang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan konsensus Kabinet mengenainya, tetapi ia sukar. Jadi, ia mengambil masa,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Beliau berkata, langkah kerajaan juga dihalang “deep state” – daulah terpendam – yang enggan melaksanakan dasar kerajaan PH.

Banyak janji pilihan raya katanya, masih tidak dilaksanakan apabila kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan berkuasa.

Beliau berkata, Mahathir memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum beliau dilantik sebagai menteri kewangan dan perdana menteri mengejutkan ahli gabungan itu dengan peletakan jawatannya.

Lim membidas menteri luar ketika itu, Saifuddin Abdullah yang bersungguh-sungguh menyokong isu “deep state” sebelum mengubah nadanya selepas menyertai PPBM.

Mengenai janji pemansuhan tol, bekas menteri kewangan itu berkata, Mahathir membantah sebarang pengurangan kadar tol atas alasan janji pilihan raya itu tidak boleh dilaksanakan.

“Kami (DAP) mempunyai pendapat berbeza dan memaklumkan kepada beliau bahawa ini adalah sebahagian manifesto kami dan kami patut melaksanakannya.”

Pemansuhan itu tidak pernah berlaku, tetapi kadar tol dikurangkan sebanyak 18% di beberapa lebuh raya dengan konsesi dilanjutkan.

Lim berkata, ideanya ialah mengurangkan kadar tol secara berperingkat dalam lima tahun sebelum pemansuhan sepenuhnya.

“Tetapi, kerajaan kami tumbang tidak lama kemudian.”

Lim diminta mengulas persepsi umum bahawa Mahathir tidak melayan pemimpin DAP secara adil ketika menjadi perdana menteri.

Lim berkata, ini ialah satu daripada hakikat menjadi kerajaan kerana mereka terperangkap dengan “cara pemikiran” kerajaan terdahulu.

Katanya, banyak sentimen dan pendapat menentang gabungan berkenaan ketika itu ialah hasil kejayaan kempen propaganda, bukan hanya terhadap PH, tetapi juga DAP.

Beliau berkata, satu daripada kelemahan asas kerajaan PH ialah kegagalan menubuhkan jentera berkesan untuk menyampaikan mesej mereka kepada rakyat.

“Kami tidak mampu menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai dasar kerajaan.

“Terdapat juga ‘deep state’ seperti yang selalu ditekankan Saifuddin. Sudah tentu sekarang beliau mempunyai pandangan berbeza.

“Ketika itu, beliau ialah penyokong utama ‘deep state’. Ada isu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan dasar lain yang ditentang sekeras-kerasnya oleh sayap kanan Melayu dan juga parti seperti PAS. Tetapi, kini mereka menyokong Saifuddin sepenuhnya.”

Lim bagaimanapun mendakwa mereka mencapai sedikit kemajuan.

“Cuma kami tiada masa untuk melaksanakan ‘transformasi kerajaan secara menyeluruh ketika berkuasa selama 22 bulan’.”

Mengenai kejayaan, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, mereka berjaya mewujudkan pekerjaan untuk belia, memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar dan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Mengenai Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, pemimpin DAP itu berkata, beliau terkejut apabila tahu mengenai acara “makan malam” di hotel tersebut.

Tetapi katanya, ketiadaan Mahathir dalam makan malam itu membuatkan mereka terfikir bahawa langkah itu gagal.

“Paling mengejutkan ialah peletakan jawatan perdana menteri sehari kemudian.”

Pemansuhan GST

Mengenai dakwaan GST tidak semestinya dapat mengurangkan kos sara hidup seperti diharapkan kerajaan dengan pendapatan berkurangan, Lim menangkis dakwaan itu dengan berkata, Mahathir melaksanakannya sebelum beliau dilantik sebagai menteri kewangan.

“Beliau melakukannya kerana ia sebahagian daripada manifesto. Kami berjanji, jadi beliau melaksanakan pemansuhan itu sejurus selepas berkuasa,” katanya sambil menambah janji pilihan raya perlu dikotakan.

Ditanya jika beliau menyokong pengenalan semula cukai itu, katanya, masalah pembayaran balik akan menjadi isu besar.

“Walaupun mungkin ada sedikit rasional di sebalik peluasan asas cukai, GST akan menyebabkan inflasi dan menambah beban golongan bawah masyarakat.

“Adakah wang akan dibelanjakan ke atas projek yang memanfaatkan negara? Atau akan berlaku ketirisan dalam bentuk rasuah atau penyelewengan?”

Lim mengakui GST ialah sistem cukai lebih cekap, tetapi ia juga akan menambah beban rakyat.

“Hakikatnya ialah pada 2018, rakyat tidak menyokong GST. Inilah bidang politik dan ekonomi yang anda perlu tangani.”

Football news:

Courtois on 2:1 with Barca: Real showed that they can fight
Messi has not scored against Real Madrid since May 2018
Zinedine Zidane: Real Madrid beat Barca deservedly. You can't blame everything on the judge
Ronald Koeman: The referee should have taken a clear penalty. But Barca will have to accept it again
Sergi Roberto on Braithwaite's fall: I was surprised that the referee immediately said that nothing had happened. He did not address VAR
Ex-referee Iturralde Gonzalez believes there was a penalty on Braithwaite. Andujar Oliver thinks not
Casemiro got 2 yellow cards in a minute and will miss Real Madrid's game with Getafe