Pengarah Urusan Rangkaian Restoran Khulafa Sdn. Bhd., Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, gangguan bekalan air yang berlaku sehingga Sabtu ini memaksa dia membelanjakan lebih RM30,000 sebagai persiapan awal.

Katanya, dia mempunyai sembilan cawangan restoran 24 jam dan setiap satu premis dibekalkan empat tangki air berkapasiti 1,000 liter.

"Setiap satu tangki air bernilai RM400 dan simpanan air tersebut digunakan hanya untuk kerja pembersihan sahaja. Manakala, untuk memasak makanan dan menyediakan minuman pula kita membeli air minuman bagi menjamin kebersihan dan kesihatan pelanggan.

"Selain itu, sepanjang gangguan bekalan air, kita menghidangkan makanan dengan menggunakan pengalas plastik, cawan pakai buang bagi penjimatan air. Malah, kita juga meletakkan notis gangguan bekalan air di pintu tandas, namun boleh digunakan sekiranya pelanggan terdesak," katanya ketika ditemui di restorannya di Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan wartawan Utusan Online di pili awam yang disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 16, di sini mendapati keadaan masih lagi lenggang dan hanya segelintir sahaja yang menggunakannya.

Salah seorang pengguna, Nasaruddin Saaidan,50, berkata, dia sanggup memandu sejauh lebih 10 minit dari Seksyen 24 untuk mengambil air bagi kegunaan seisi rumah.

"Setakat ini, bekalan air simpanan di rumah masih lagi mencukupi tetapi mana yang habis digunakan pagi tadi saya menggantikannya lagi.

"Rumah saya sudah tidak ada bekalan air sejak pukul 8 pagi tadi. Namun, berharap gangguan bekalan air ini selesai segera agar tidak perlu mengangkat air dari tingkat lima berikutan rumah tiada kemudahan lif," ujarnya yang bekerja sebagai operator kilang.

Dalam pada itu, seorang pembantu tadika, Nor Liza Abu Kassim,60, berkata, setakat ini, tadikanya yang terletak di Seksyen 18 di sini tidak akan ditutup berikutan bekalan air masih mencukupi.

"Kita telah membuat persediaan awal dengan menyimpan air dalam besen selain ada ibu bapa yang menyumbangkan air untuk kegunaan anak-anak mereka.

"Tadika ini mempunyai seramai 35 kanak-kanak dan berharap bekalan air yang disimpan mencukupi," katanya. -UTUSAN ONLINE