Menyifatkan anak buahnya tiada nasib, jurulatih Senegal, Aliou Cisse bagaimanapun memuji persembahan skuad bimbingannya yang sekurang-kurangnya telah berusaha keras untuk memadamkan nostalgia hitam dirinya yang juga pernah terlepas untuk menggenggam kejuaraan pada 2002 lalu.

“Kesilapan kami adalah melepaskan gol terlalu awal namun secara keseluruhan, kami sepatutnya menyamakan kedudukan tetapi itu tidak berlaku. Apa pun saya ucapkan tahniah kepada pemain saya yang bekerja keras tetapi nasib masih tidak memihak pada kami,” kata Cisse.

Bagi rakan sejawatannya di Algeria, Djamel Belmadi, penantian 29 tahun negaranya kini telah berakhir dengan kejayaan ini selepas kali pertama menjuarainya pada edisi 1990.

“Walaupun ini kali kedua kami muncul juara tetapi ia lebih manis kerana ini kali pertama kami merangkulnya di luar Algeria. Rakyat kami memang sudah lama menunggu saat ini.

“Ia menjadi lebih istimewa kerana kami bermula daripada tiada apa-apa, bergelut membina pasukan dalam tempoh 10 bulan sahaja sebelum mencatat kejayaan hebat dan luar biasa ini,” tegas Belmadi.

Algeria memperoleh gol seawal minit ke-2 apabila bola sepakan liar Baghdad Bounedjah dari jarak 20 ela tertampan pemain pertahanan Senegal sebelum bola tiba-tiba melambung lembut melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Alfred Gomis.

Selepas gol itu, Algeria lebih banyak bertahan sahaja sekaligus membolehkan pemain Senegal menguasai permainan namun mendapati gol penyamaan yang dicari tidak langsung kunjung tiba.

Walaupun dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil di babak kedua, Senegal dihampakan dengan penggunaan video pembantu pengadil (VAR) yang membatalkan keputusan awal yang dibuat sebelum itu. - AFP