Kedua-dua suspek berusia 28 tahun yang juga suspek utama kes tersebut ditahan di Hospital Kulim, Kedah kerana dipercayai bersubahat membuang bayi perempuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil soal siasat suspek mengaku melahirkan

bayi perempuan itu di rumah ibunya di Kulim sebelum membuang bayi tersebut di masjid berkenaan.

“Suspek juga mengaku merahsiakan kandungannya daripada pengetahuan ibunya sehingga melahirkan bayi tersebut.

“Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Butterworth di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan hari ini,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan ditinggalkan dalam kotak di Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor.

Bayi itu ditemui jemaah lelaki yang sedang bersiap sedia menunaikan solat zuhur yang kemudiannya menghubungi polis.

Rabu lalu, nenek kepada bayi itu ditahan reman selepas dia dipercayai bersubahat bersama anak perempuannya itu membuang bayi.

Menurut Noorzainy, wanita itu yang juga ibu tunggal kematian suami pada tahun 2015 mempunyai seorang anak perempuan berumur enam tahun.

“Wanita tersebut memberitahu dia telah menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya yang dikenali melalui laman media sosial lebih setahun lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE