Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pada tahun lalu mengeksport peralatan dan alat ganti pesawat bernilai RM8.48 bilion ke Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom, China dan Perancis.

“Pada 2018, industri aeroangkasa Malaysia menyaksikan perkembangan positif, terutama dalam sektor penyelenggaraan dan pembaikan (MRO) aeroangkasa dengan meraih pendapatan berjumlah RM14.4 bilion meliputi 24,500 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Industri ini akan terus berkembang dengan 11 projek pelaburan aeroangkasa baharu bernilai RM816.3 juta yang diluluskan tahun lalu yang dijangka mampu menjana lebih 1,500 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

LIMA ‘19 yang bermula hari ini sehingga 30 Mac menerima kehadiran delegasi perniagaan dari 31 buah negara selain penyertaan 390 syarikat komersial dan pertahanan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, Kementerian Pertahanan sedang menyediakan kertas putih mengenai keutamaan dan rancangan mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara.

Kata beliau, kertas putih berkenaan akan turut mengandungi elemen seperti strategi pertahanan negara, peralatan ketenteraan dan perkara berkaitan lain agar dapat menjamin tahap keselamatan negara.

“Kertas putih pertahanan adalah satu sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia atas beberapa sebab yang mewakili pandangan-pandangan yang strategik mengenai pertahanan,” katanya. - UTUSAN ONLINE