logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo
star Bookmark: Tag Tag Tag Tag Tag
Malaysia

Jangan putus asa dengan ICERD, aktivis beritahu kerajaan

Kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD berikutan tentangan daripada kumpulan Melayu dan parti politik yang memberi amaran ia mengancam dasar tindakan afirmatif negara.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia dan ahli akademik menggesa Putrajaya tidak menghalang Konvensyen Antarbangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) daripada diratifikasi, mengatakan kerajaan patut menjelaskan perjanjian itu kepada rakyat, bukan mengumumkan ia dibatalkan.

Penyelaras program kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas, Ryan Chua berkata kerajaan mesti berusaha menentang sebarang naratif palsu mengenai perjanjian itu, yang mendorong semua pihak menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum, termasuk dalam institusi awam dan dasar kerajaan.

“Konvensyen itu (menegakkan) standard antarabangsa dan amalan baik tanpa diskriminasi,” katanya.

“Kami kecewa kerajaan terpaksa bertindak begini kerana salah maklumat dan tuduhan mengenai ICERD,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah yang mengulangi keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD berikutan tentangan daripada kumpulan Melayu dan parti politik yang memberi amaran ia mengancam dasar tindakan afirmatif negara.

Bagaimanapun, katanya, perjuangan untuk meratifikasikan Statut Rom akan diteruskan.

Menurutnya, terdapat pihak yang cuba memanipulasi perjanjian tersebut dengan menyebarkan fakta yang salah mengenai perjanjian itu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata Saifuddin perlu mengambil pendekatan yang sama dalam isu ICERD.

“Jika menteri itu mengeluh sebab utama Statut Rom ditolak kerana salah maklumat oleh pihak tertentu dan berkata kementeriannya akan memberi penjelasan sebenarkan, strategi yang sama boleh digunakan untuk ICERD,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya, bukan orang awam, yang patut dipersalahkan atas kekeliruan mengenai perjanjian tersebut.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula mencadangkan sesi perjumpaan untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat kerana ia boleh mengelak kebimbangan dalam kalangan orang Melayu dan menolak persepsi Putrajaya tergopoh-gapah dalam perkara begitu.

Beliau juga mengkritik Saifuddin atas kenyataannya mengenai “profesor kangkung”, sambil menegaskan ia tidak membantu.

“Label seperti itu hanya akan memburukkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Jalan terbaik mencapai matlamat ialah dialog dan perbincangan dalam kalangan ahli akademik dan siapa yang setuju dan yang tidak setuju,” katanya.

Faridah Jalil, ahli akademik dan pakar dalam undang-undang perlembagaan berkata, isu tersebut boleh menimbulkan perbalahan dan meramalkan ia mengambil masa sebelum Malaysia menandatangani ICERD.

“Pendekatan terbaik buat masa ini adalah mengkaji semula undang-undang tempatan dan selaraskannya dengan ICERD dan kemudian menilai kepentingan masyarakat,” beliau memberitahu FMT.

“Apa pun, pihak eksekutif terpaksa menghadapi kritikan dan pengawasan masyarakat,” katanya.

Gun Kut, seorang daripada 18 ahli jawatankuasa mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum, badan di bawah PBB yang ditugaskan memantau pelaksanaan ICERD berkata:

“ICERD dianggap alat bernilai untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat dengan melindungi hak bukan diskriminasi untuk semua kumpulan lemah, sama ada dalam keadaan majoriti atau minoriti.

“Bagaimanapun, terpulanglah kepada kerajaan-kerajaan negara ahli PBB untuk putuskan masa terbaik untuk menandatangani konvensyen.

“Saya pasti apabila suasana politik lebih baik, kerajaan Malaysia akan dapat meyakinkan rakyat bahawa ICERD akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.

Themes
ICO